Projek perumahan ubah konsep bandar baharu Tunjong

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Pembangunan Bandar Baharu Lembah Sireh kini berubah dengan adanya pembinaan perumahan bertingkat dan institusi pendidikan di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pada peringkat awal pembinaannya diutamakan pembangunan bagi tujuan komersial.

Katanya perubahan perancangan yang diputuskan tahun lalu itu dengan mengambil kira situasi semasa termasuk kesesakan lalu lintas.

- Advertisement -

“Pada mulanya kita menitikberatkan pembangunan komersial, namun dengan perkembangan semasa sekarang tumpuan pembangunan di Lembah Sireh berubah.

“Pindaan itu diluluskan dalam mesyuarat jawatankuasa kawal selia merancang dan menyelaras aktiviti kemajuan projek pembangunan negeri 2021,” katanya ketika menjawab soalan Dato’ Dr. Ramli Mamat (PAS-Bunut Payong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Mohd Amar berkata, kesesakan lalu lintas di Lembah Sireh masih terkawal kecuali apabila tiba musim perayaan dan cuti sekolah memandang kesesakan berlaku di terminal bas sementara.

“Tetapi setelah membuat kajian pelbagai aspek, kita memutuskan untuk membina terminal bas tetap di luar kawasan Lembah Sireh.

“Ini sebagai salah satu cara mengurangkan kesesakan lalu lintas, semalam kita umum untuk bina KB Sentral di Bandar Baru Tunjong,” katanya.

Menurutnya perubahan itu akan berlaku apabila Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia siap kelak di Bandar Baharu Tunjong.

“Kita pun membuat jangkaan mungkin berlaku kesesakan di situ apabila projek perumahan siap, sebab itu kita sedang meneliti beberapa pilihan yang ada.

“Ini untuk menyuraikan lalu lintas, kita tengok mana yang munasabah dan lebih sesuai insyaAllah mungkin ada jalan baru akan dibuka di lokasi berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -