Pelatih Program Penempatan Pekerjaan terima elaun RM2,500

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri sentiasa memantau dan menerima laporan daripada penggiat industri mengenai peserta Program Penempatan Pekerjaan Industri yang disertai belia dari Kelantan.

Exco belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, program itu anjuran Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) dengan kerjasama pengiat sektor ekonomi.

Katanya hanya 100 daripada 250 peserta yang menyertai Program Penempatan Pekerjaan Industri berjaya menamatkan kursus dan mendapat peluang pekerjaan yang sesuai.

- Advertisement -

“Mereka layak menerima pelbagai inisiatif lain termasuk mempunyai rekod kehadiran baik dengan diberi bonus bulanan dan elaun kerja lebih masa.

“Pelatih yang kita hantar merupakan peserta yang mempunyai displin, berkelakuan baik dan tiada masalah lain,” katanya ketika menjawab soalan Saiful Adli Abu Bakar (PAS-Salor) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini hari ini.

Wan Roslan juga berkata, program penempatan pekerjaan industri tidak menetapkan sebarang syarat kelayakan sijil akademik.

Malah kata beliau permohonan itu terbuka kepada semua golongan belia yang mempunyai komitmen tinggi untuk berjaya dalam kehidupan.

Peserta yang layak bakal mengikuti taklimat selama tujuh hari dan menjalani kursus pembelajaran sambil bekerja selama enam bulan.

“Mereka menerima elaun bulanan sehingga RM2,500 selain makanan, penginapan dan pengangkutan ke tempat kerja yang disediakan secara percuma.

“Setelah menamatkan kursus peserta akan menerima Pengiktirafan Pensijilan Profesional yang diiktiraf Universiti Teknologi Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -