UniMAP tawar harga makanan serendah RM3.50

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Lebih 13,000 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima manfaat apabila universiti tersebut mula menawarkan pakej menu makanan Keluarga Malaysia@UniMAP di semua kafeteria kolej kediaman dengan harga serendah RM3.50.

Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, usaha tersebut dilakukan bagi meringankan beban di samping rasa tanggungjawab pihak universiti untuk menjaga kebajikan pelajar yang dilihat terkesan ekoran kenaikan kos sara hidup.

“UniMAP komited dan selari dengan seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan harga barang dan makanan dalam kampus terus terkawal dan tidak membebankan pelajar.

- Advertisement -

“Kita juga sentiasa bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) bagi memastikan tiada isu keciciran maklumat berkaitan sebarang isu dan permasalahan melibatkan kebajikan pelajar,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak universiti akan memastikan pemantauan penuh mengenai tanda harga makanan dan barangan dilaksanakan di semua premis dalam kampus supaya tiada sebarang kenaikan harga yang luar biasa sehingga membebankan pelajar terutama daripada golongan B40.

“Hasrat UniMAP adalah untuk memastikan pelajar sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif bagi meneruskan pengajian,” katanya.

Ujarnya, selain pelaksanaan pakej menu makanan Keluarga Malaysia@UniMAP, pihak universiti juga melancarkan projek Insentif Khas Kasih UniMAP sejak 6 Julai 2020 lalu meliputi penyediaan bank makanan, peluang pekerjaan kepada pelajar melalui Skim Tabung Dedikasi Diri, Insentif Keusahawanan, Insentif Inovasi, pengangkutan percuma dan banyak lagi.

“Malah pihak UniMAP akan memperkasakan beberapa jenis inisiatif baharu dalam mendukung usaha yang kita mulakan melalui Insentif Khas Kasih UniMAP khusus bagi mengurangkan beban kewangan pelajar.

“Kami juga sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan atau perbincangan daripada semua pihak dalam usaha memastikan kebajikan pelajar terjaga dan seterusnya membolehkan mereka ini menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Prof. Dr. Zaliman juga turut mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang ingin bersama menyumbang bagi meringankan beban pelajar yang terkesan. – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -