Tubuh Akademi Abdul Rahman al Aufi anjur kursus kemahiran

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri akan menubuh Akademi Abdul Rahman al Aufi bagi menganjurkan kursus kemahiran membabitkan golongan belia.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, sebanyak 20 lot kedai di tingkat tiga Bazar Tok Guru akan diubah suai bagi menyediakan tempat untuk menganjurkan kursus kemahiran.

- Advertisement -

Katanya usaha itu akan dilaksanakan Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Ada lot kedai akan diubahsuai bagi tujuan mengadakan kursus kemahiran seperti gunting rambut, kursus kulinari, urutan, berbekam dan sebagainya.

“Manakala beberapa lot lagi disediakan kepada belia untuk berniaga dengan inisiatif kerajaan negeri seperti sewa percuma dan kemudahan lain,” katanya ketika menjawab soalan Saiful Adli Abu Bakar (PAS-Salor) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kota Darulnaim hari ini.

Wan Roslan juga berkata, keutamaan diberi kepada belia yang pernah mengikuti kursus di bawah akademi tersebut.

Menurutnya usaha itu sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk menggalakkan golongan belia menceburi sektor keusahawanan bagi merancak pembangunan ekonomi.

Katanya juga sehinga sekarang kerajaan negeri melalui U-Bes menganjurkan pelbagai kursus, bengkel dan seminar kemahiran membabitkan golongan belia.

“U-Bes merangka tiga strategi utama bagi memberi pendedahan serta peluang kepada golongan belia terlibat dengan sektor itu,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 19/7/2022