Tegas tangani ketirisan, tolak ansur jangan disalahertikan

- Advertisement -

BUKAN semudah ABC’ – Demikian ungkapan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika menjelaskan rangkaian usaha kerajaan dalam menangani isu ketirisan barang bersubsidi, termasuk minyak masak peket yang sering menjadi polemik. 

Hal ini kerana, memang benar kerajaan menerusi KPDNHEP mempunyai kuasa mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 yang tidak membenarkan penggunaan minyak masak peket dalam kemasan polibeg 1kg untuk digunakan secara komersial.

Dalam erti kata lain, minyak berkualiti berharga paling murah di dunia, iaitu RM2.50 ini tidak sepatutnya dibeli oleh pengusaha perniagaan seperti sektor makanan atau pengeluar produk berasaskan minyak yang lain, sebaliknya dikhaskan untuk golongan memerlukan khususnya B40.

Bagaimanapun, adakah tegar untuk kerajaan mengambil pendekatan ‘kuku besi’ dengan bertindak mengikut saluran undang-undang terhadap penjaja kecil yang menggunakan minyak masak peket dalam operasi perniagaan harian mereka?

‘Adakah penguatkuasa nak saman atau rampas minyak masak mereka. Nanti dituduh kita zalim pula terhadap mereka’ – soal Perdana Menteri ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen, pagi tadi.

Justeru, kerajaan menerusi KPDNHEP masih mempunyai budi bicara, memandangkan pelbagai pihak termasuk penjaja kecil cuba kembali bangkit daripada kesan pandemik COVID-19 sejak 2 tahun lalu yang masih terasa hingga kini. 

Namun, ingin diingatkan, usah disalah erti tolak ansur ini kerana KPDNHEP bersama seluruh jentera agensi penguat kuasa kini menggembleng tenaga dalam membasmi ketirisan barang bersubsidi, secara habis-habisan. Usaha memerangi ketirisan ini akan diteruskan menerusi proses audit dan pemutihan yang giat dijalankan ketika ini.

Mesej sama ditujukan kepada ‘pengkhianat’ yang mendalangi rangkaian kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang bersubsidi, ‘we are coming for you’. Hentikan sebelum terlambat.

Jangan angkara gelap mata dengan keuntungan berlipat kali ganda, hak orang lain sebagai penerima subsidi yang sebenar dinafikan.

DATUK SERI ALEXANDER NANTA LINGGI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -