Gunung Inas: Kedah tunggu laporan semua agensi

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan negeri hanya akan membentang laporan kejadian bencana kepala air, Gunung Inas apabila mendapat maklum balas dari semua agensi dan jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk membuat penilaian terhadap kejadian berkenaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, adalah tidak adil baginya membentangkan laporan hasil penilaian dari hanya satu jabatan sahaja tanpa menunggu keseluruhan laporan.

“Apa yang saya cakap di luar itulah juga yang saya kata dalam sidang dewan. Sebagai Menteri Besar, bertanggungjawab untuk menunggu laporan dari semua jabatan yang terlibat,” kata beliau pada sidang media di pejabatnya, Wisma Darul Aman, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya beliau turut menghargai usul tergempar pembangkang yang dikemukakan Dato’ Dr Ismail Salleh (Pengkalan Kundur-Amanah) dan Tan Kok Yew (Derga-DAP) biarpun ditolak Speaker Dun, Dato’ Juhari Bulat kerana tidak mematuhi peraturan.

Bagaimanapun kata beliau pihak yang membawa usul tergempar perlu mengemukakan secara bertulis dalam tempoh 14 hari bekerja atau dibawa kepada Menteri Besar dalam tempoh tujuh hari. Paling tidak dalam 24 jam.

“Tetapi mereka (pembangkang) tidak hubungi saya pun. Tak sampai dua minggu usul tidak boleh diterima tetapi mereka cuba nak bawa juga,” katanya.

Menurutnya kerajaan negeri tidak mengambil bahagian dalam perbincangan antara Speaker Dewan dan pembangkang berkaitan isu berkenaan.

“Jadi pembangkang senang, boleh cakap macam-macam di luar sana. Kalau betul-betul mereka (pembangkang) ikhlas dan ada cadangan, kemukakan usul pada sidang dewan akan datang,” katanya lagi.

Sanusi sekali lagi menyebut dua insiden kepala air iaitu pada 18 Ogos 2021di Gunung Jerai dan 4 Julai 2022 di Gunung Inas adalah sama kejadiannya cuma senario berbeza.

Katanya Gunung Jerai tidak seperti Gunung Inas yang berlaku penebangan hutan dan penanaman semula. – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -