Tangguh projek belum bermula stabil ekonomi negara

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan akan meneliti bagi menangguhkan atau membatal mana-mana projek yang masih belum dilaksanakan dalam usaha penjimatan perbelanjaan selain menstabilkan ekonomi negara.

Langkah itu penting sebagai inisiatif penjimatan dalaman sekaligus ia menyahut arahan yang dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini pihaknya berbincang mengenai kedudukan kewangan serta meneliti perkembangan projek yang terlibat bagi membuat sebarang keputusan.

- Advertisement -

“Saya telah mengadakan mesyuarat dengan pihak terlibat antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk melihat mana-mana projek sama ada yang telah bermula atau belum dijalankan.

“Kita melihat bagi projek yang belum dilaksanakan kita tidak akan teruskan. Manakala bagi projek yang telah dilaksanakan kita akan berbincang tentang perkembangan sama ada projek yang mana kita akan tangguh atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian penutup Seminar Pasaran Buruh dan Pembentangan Hasil Program Outreach Pemprofilan Pencari Kerja Peringkat Negeri Kelantan 2022 sempena Karnival Kerjaya Aspirasi Negara Keluarga Malaysia, di Dewan Utama Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan, Kubang Kerian di sini hari ini.

Jumaat lalu media melaporkan kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah menerusi pekeliling perbendaharaan Malaysia untuk melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan.

Menurut arahan pekeliling itu, semua kementerian, jabatan, agensi dan badan berkanun persekutuan dan CLBG hendaklah menyusun semula program atau aktiviti dan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan tanpa menjejaskan program dan aktiviti yang memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat.

Perbelanjaan mengurus semua entiti itu juga dikehendaki melaksanakan penjimatan untuk menentukan semua perbelanjaan adalah selaras dengan prinsip dan peraturan ditetapkan bagi pengurusan kewangan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa.

Susulan itu, semua pegawai pengawal kementerian, jabatan, agensi kerajaan adalah dikehendaki mengambil langkah proaktif dalam mematuhi garis panduan yang dikeluarkan bersama surat pekeliling itu. – HARAKAHDAILY 17/7/2022

- Advertisement -