Pemain 17 tahun bantu Malaysia muncul juara

Pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, 17, pamer aksi matang.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Ketika heboh di media sosial mendakwa Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri , kapten skuad Harimau Muda yang menjuarai Piala B-19 AFF 2022 di Indonesia melebihi had umur, seorang pemain negara yang perlu penyokong Laos kecohkan sebenarnya ialah Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon.

Terbukti dakwaan terhadap Ahmad Aysar Hadi bernada semberono kerana pemain terbaik pertandingan itu memang berusia 19 tahun berdasarkan tarikh kelahiran pada 4 September 2003, Mohammad Haykal pula baru berusia 17 tahun.

- Advertisement -

Walaupun jauh lebih muda, bakat dan kemahirannya berjaya memikat pengendali skuad bawah 19 tahun, Hassan Sazali Waras, yang meletakannya sebagai antara pemain utama pada setiap perlawanan sepanjang kejohanan peringkat umur itu berlangsung.

Pelatih bawah 17 tahun Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) itu gembira dapat membantu pasukan negara menjuarai kejuaraan yang berakhir Jumaat lalu.

Mohammad Haykal sebenarnya baru pulang dari menjalani latihan percubaan di Kelab FC Annecy di Perancis dan Racing FC di Luxembourg pada 19 Jun lalu yang diuruskan oleh AMD sebelum menyertai skuad negara ke Indonesia.

“Saya bangga dan gembira dapat membantu skuad negara dalam kejuaraan B-19 AFF. Ini adalah cap pertama saya bersama pasukan negara dan saya ingin pergi lebih jauh lagi.

“Terima kasih kepada kedua ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dan sentiasa bersama saya sepanjang masa,” katanya.

Mohammad Haykal juga berterima kasih kepada semua jurulatih yang pernah membimbingnya, bermula dari Akademi Tunas Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) hingga di AMD dengan latihan dan pengalaman dilalui banyak membentuk dirinya pada hari ini.

Pada aksi final menewaskan Laos 2-0, Mohammad Haykal, menggantikan sayap utama, Najmudin Akmal Kamal Akmal, yang cedera pada minit ke-10 akibat kecederaan. Ketika aksi semi final, dia menjaringkan satu daripada tiga gol yang menumpaskan Vietnam.

Sementara itu, NFDP berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh skuad Harimau Muda di Indonesia berdasarkan daripada keseluruhan 25 pemain negara, 21 orang adalah graduan program itu. – HARAKAHDAILY 17/7/22

- Advertisement -