36.8 juta pokok ditanam seluruh negara

Foto daripada Facebook Taman Botani Negara Shah Alam.
- Advertisement -

SHAH ALAM: Sebanyak 36.8 juta pokok ditanam di seluruh negara setakat ini melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan pada 5 Jan tahun lepas, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata lebih 1,000 spesies pokok juga berjaya ditanam dalam tempoh sama menerusi kempen dalam Program Penghijauan Malaysia itu.

“Pada tahun lepas, kempen ini berjaya melepasi sasarannya dan bagi tahun ini, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyasarkan untuk menanam sebanyak 20 juta pokok setahun.

- Advertisement -

“Pencapaian kempen ini boleh dilihat dan diperoleh secara terus melalui aplikasi mudah alih ‘Penghijauan Malaysia’ dan laman sesawang khas www.100jutapokok.gov.my,” katanya berucap pada majlis pelancaran Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok sempena Bulan Koperasi Kebangsaan dan Sambutan 100 Tahun Koperasi di Taman Botani Negara di sini hari ini.

Takiyuddin berkata kempen tanam 100 juta pokok itu turut mengajak semua pihak menjayakan gerakan penanaman pokok secara besar-besaran di seluruh negara selain meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pokok dalam kelangsungan hidup. 

Beliau berkata kempen penanaman satu juta pokok oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang bermula tahun lepas hingga tahun depan juga selari dengan sasaran kedua Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025) iaitu meningkatkan sumbangan serta menggalakkan pihak swasta untuk terlibat dengan pemuliharaan dan pemeliharaan sumber biodiversiti.

“Saya yakin penglibatan 14,834 koperasi yang mempunyai seramai 7.08 juta anggota seluruh Malaysia mampu mencapai sasaran ini seterusnya menjadi pemangkin kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar di Malaysia.

“Saya turut mengajak ANGKASA bagi mendaftar dan merekodkan setiap pokok yang ditanam ke dalam aplikasi ‘Penghijauan Malaysia’ yang dibangunkan oleh KeTSA sebagai tanda sumbangan dan sokongan terhadap kempen yang sedang dilaksanakan di peringkat nasional,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar turut melancarkan modul Pendidikan dan Pembelajaran ‘Sejuta Pokok Segunung Harapan’ untuk dimanfaatkan 2,460 koperasi sekolah di seluruh Malaysia dengan keahliann berjumlah kira-kira 1.97 juta individu.

Modul tersebut diterbitkan secara kolaborasi antara ANGKASA dan Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memulihara hutan dan alam sekitar serta memberi pendidikan asas berkaitan jenis dan fisiologi pokok, konsep tanaman, penjagaan pokok dan penghasilan baja kompos, garis panduan pengukuran tumbesaran pokok dan penyelenggaraan tanaman pokok. – BERNAMA

- Advertisement -