DUA tahun lalu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi ‘amaran’ kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya tidak melakukan pembangunan di Ulu Muda.
Entiti itu mengingatkan betapa tindakan sedemikian bakal mengancam kawasan tadahan air tersebut selaku punca Sungai Muda yang mengalir dan menjadi sumber bekalan air bagi kegunaan negeri itu.
Ternyata, Pulau Pinang mengakui betapa sumber air bagi negeri itu berasal dari dalam negeri Kedah, tetapi Pulau Pinang yang asalnya sebahagian daripada Kedah itu dengan berani dan angkuh ‘menjerkah’ tuan sendiri.
Begitulah sikap perasan ‘Abang Besar’ pemerintahan DAP Pulau Pinang yang tanpa malu dan segan silu seolah-olah merasa aset berada di Kedah pun macam kepunyaan takluk jajahan penguasaan sendiri!
Sedangkan tegahan itu bukan sekadar ‘menyibuk’ atau ‘gempaq’ kata oghang Kedah, tapi dari sudut maruahnya boleh dilihat sebagai tindakan campur tangan terhadap kedaulatan dan hak negeri lain.
Hipokritnya DAP, kedaulatan negeri jiran mereka tidak hormati dan cuba perkotak-katikkan, ketika sama ada pemimpin parti itu konon mahu Kuala Lumpur diangkat menjadi sebuah negeri berdaulat.
Itu belum kira Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia dan bangsa Melayu selaku tuan punya negara ini serta Raja-raya yang menjadi penaungnya di mana turut pernah cuba digugat kedaulatannya oleh DAP.
Namun, apabila Laksamana Pertama (K) Dato’ Seri Sanusi bertindak balas dengan menuntut bayaran kerana Pulau Pinang mengekstrak air Sungai Muda lebih banyak dari digunakan oleh Kedah sendiri, negeri kecil itu terus menikus.
Sehingga ke hari ini Pulau Pinang masih menunjukkan sikap bebal enggan merundingkannya, walhal sepertimana dalam pengetahuan umum, bayaran dilakukan atas sesuatu pembelian, penggunaan atau perolehan.
Tetapi negeri itu ‘buat duit’ dengan menjual dan mengaut kekayaan hasil perkhidmatan perbekalan air kepada rakyat dan industri. Sedangkan, Syarikat Air Darul Aman (SADA) milik Kedah sendiri pun perlu membayar kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).
Tiada kontingensi?
Dalam keengganan Pulau Pinang itu, tragedi aliran puing yang menyebabkan banjir lumpur di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu turut memberi kesan kepada perkhidmatan bekalan air di negeri itu.
Loji rawatan air (LRA) di Pulau Pinang (juga beberapa di Kedah) terpaksa dihentitugas kerana kadar kekeruhan air sungai tinggi serta kandungan lain yang boleh merosakkan peralatan atau komponen pemprosesan air untuk bekalan bersih.
PBAPP seakan gagal menjangka dengan baik kemungkinan tersebut apabila tersangat lewat mengumumkan pemakluman kepada awam mengenai hentitugas tersebut walaupun tragedi di Baling itu telah menjadi pengetahuan nasional.
Keadaan tersentap dan terkejut itu menyaksikan pembelian panik dan ‘sold out’ air minuman dan air mineral botol di kebanyakan kedai dan pasar raya di Pulau Pinang selama beberapa hari tersebut.
Tergamam diam Pulau Pinang itu juga mungkin kerana sudah merasa kesan apabila dikatakan satu LRA di Nibong Tebal telah beberapa bulan tidak dapat beroperasi dengan lancar kerana air sudah ‘dibelat’ dari Kedah.
Ia juga dikatakan menjadi punca masalah perkhidmatan bekalan air bersih melanda di kawasan-kawasan perumahan di selatan daerah negeri itu serta menjejaskan perancangan Pulau Pinang untuk membuka lebih banyak industri.
Difahamkan, Kedah sedang menyiapkan beberapa projek berkaitan iaitu Takungan Air Pinggir Sungai (TAPS) di Kuala Muda, Ampang Jajar dan Jeniang Tranfer serta Empangan Noak bagi memenuhi keperluan pengairan pertanian.
Apabila siap kelak, jumlah isipadu air akan lebih banyak dialirkan kepada keperluan tersebut dalam memenuhi sasaran pengeluaran padi, sekali gus mengurangkan air Sungai Muda yang berakhir di Pulau Pinang.
Persoalannya, sejauh mana kontingensi di pihak Pulau Pinang? Malang sekali, konfrontasi Pulau Pinang terhadap Kedah merisikokan negeri itu terputus sumber bekalan air, setelah pula Perak juga enggan bersetuju menyalurkan air dari Sungai Kerian sebagaimana dipohon.
Komitmen pelihara ekosistem
Situasi Pulau Pinang itu sememangnya tidak patut terjadi sekiranya negeri tersebut tidak mempunyai ego untuk mengakui pentingnya berbaik dengan Kedah agar kelangsungan bekalan air dari Sungai Muda kekal selamanya.
Ini kerana Kedah telah menunjukkan komitmen tinggi untuk seluruh ekosistem perbekalan air itu terjaga dengan baiknya apabila mahu terus mempertahankan dan memulihara alam semulajadi Ulu Muda.
Komitmen itu bersepadu bersama agensi-agensi yang turut bersama kepada kawasan tadahan air itu yang meliputi Hutan Simpan Kekal Ulu Muda, Empangan Muda dan Tasik Gubir.
Agensi-agensi tersebut adalah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
Setelah dua tahun, tiada sebarang usaha mahupun rancangan penerokaan atau pembangunan diadakan di kawasan hijau tersebut sebagaimana persangkaan buruk dan tohmahan cuba dipalitkan.
Ya, Sanusi mendapat ‘didikan’ tinggi di Pulau Pinang iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), tapi tarbiyah PAS diterimanya telah membentuk kapasiti pendirian dan prinsip diri beliau yang diterjemah kepada kerajaan dipimpinnya.
Pernah sebagai Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pusat, hal pertanian sememangnya diberi perhatian tinggi beliau sebagaimana gagasan besarnya untuk Jelapang Padi Negara.
Begitu juga ketegasannya telah dibuktikan dari penglibatan beliau dalam pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan kepentingan rakyat dan alam sekitar sejak tamat pengajian di USM lagi.
Retorik, hipokrit DAP
Semalam, LATAS PAS Pusat yang kini dipengerusikan Dr Azman Ibrahim bersama jawatankuasa beliau telah bereksplorasi ke kawasan Ulu Muda menyaksikan bahawa kawasan tersebut masih kekal terpelihara.
Pengerusi MADA, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman selaku Ahli Parlimen Sik yang turut bersama juga telah memberi jaminan komitmen semua pihak di Kedah untuk kawasan tersebut kekal jauh dari diusik oleh sebarang pembangunan.
Pengorbanan Kedah ini sangat besar untuk kepentingan perbekalan air untuk sekitar lebih 6 juta penduduk Malaysia yang berada di Utara Semenanjung, namun berbeza dengan retorik DAP di Pulau Pinang.
Slogan ‘Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat’ dilaungkan DAP itu ternyata hipokrit, kerana ketika Pulau Pinang mendesak Kedah menjaga sungainya, tetapi sungai-sungai di negeri itu langsung tidak dijaga.
Kebanyakan sungai di Pulau Pinang menjadi ‘longkang’ untuk buangan industri hingga tercemar teruk dan sebagaimana tinjauan Dr Azman kelmarin, Sungai Kereh di Tasek Gelugor menjadi tempat pembuangan najis babi dari Kampung Selamat, Kepala Batas.
Akibatnya, sungai yang mengalir di sepanjang kawasan penempatan kehidupan orang Melayu-Islam dan aktiviti pertanian seperti sawah, kelapa sawit dan kelapa itu tercemar air dan bau di mana sangat merengsakan dan tidak menyelesakan.
Dalam situasi ini, jikapun DAP di Pulau Pinang lepas tangan terhadap tanggungjawab ke atas sungai-sungainya, mereka patut tahu ‘berbahasa’ dengan Kedah sudah ‘berbudi’.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 17/7/2022
Kedah berbudi, Pulau Pinang patut tahu berbahasa
Bekalan Sungai Muda terjamin dengan kekalkan kawasan tadahan Ulu Muda