Sayap Bersekutu Bersatu selar jenaka cuba lagakan kaum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan individu yang cuba melaga-lagakan kaum di Kelab Komedi Crackhouse seperti ditular di media sosial turut diselar Sayap Bersekutu Bersatu.

Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, S Gobi Krishnan berkata tindakan itu dilihat sebagai keterlaluan kerana cuba melaga-lagakan kaum Melayu dan kaum India dengan lawak jenaka yang bersifat menghina.

Katanya, beliau mengutuk sekeras-kerasnya aksi tersebut kerana ia boleh mengeruhkan hubungan di antara kaum di negara ini.

- Advertisement -

“Saya memohon pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengambil tindakan tegas terhadap kelab terbabit yang berterusan terpalit dengan kontroversi melampau,” katanya pada kenyataan semalam.

Sebuah laman sosial berkongsi seorang lelaki beraksi membuat lawak jenaka di Crackhouse Comedy Club dalam bahasa Tamil dengan merujuk kepada kaum Melayu sebagai tidak faham bahasa Inggeris.

Selain itu dia didakwa membuat lawak yang bersifat menghina keistimewaan Bumiputera dalam bahasa Tamil.

Ekoran Tindakan tersebut Sayap Bersekutu Bersatu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul.

S Gobi juga berkata, tindakan individu terbabit berbahasa Tamil sehingga timbul berlaku salah dia sebagai orang India yang menghina kaum Melayu.

“Kami akan terus bersuara dalam apa jua isu yang mengganggu-gugat hubungan antara kaum di negara ini.

“Seharusnya, semua pihak berusaha ke arah membina hubungan baik di antara kaum dan agama demi kesejahteraan dan ketenteraman rakyat dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -