Korban peta luka umat Islam, sisi gelap dan terang arca berdiri

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMA NOR

MINGGU ini bergentayangan di medsos audio visual pelbagai cerita mengenai program korban sama ada dalam dan juga luar negara. Teman-teman aktivis bernuansa kebajikan berlanglangbuana ke merata pelusuk dunia melunaskan tanggungjawab dan permintaan rakan-rakan NGO daripada negara umat Isla yang terpuruk. Ada yang melaksanakan ibadah korban di benua Afrika, Sub Kontinen, Asia Barat, juga Asia Tenggara serta pelbagai peta luka umat yang lain.

Program ibadah korban luar negara ini mula menjadi trend sejak 22 tahun yang lampau, digerakkan oleh syarikat wakalah korban, seterusnya oleh NGO-NGO kebajikan, malah akhirnya turut dimeriahkan oleh pihak Jawatankuasa masjid, surau, badan kebajikan pekerja serta agen-agen pelancongan.

Antara negara yang paling mudah dimasuki untuk ibadah korban ini ialah Cambodia, Thailand, Filipina dan Indonesia. Negara ini selain jarak perjalanan yang dekat, juga dibawah naungan persefahaman ASEAN, masih kurang karenah birokrasi dan “red tape”.

- Advertisement -

Antara program sisipan NGO-NGO Islam di pelbagai negara terpuruk ini ialah mewujudkan madrasah, masjid, telaga tiub, bengkel kemahiran, agihan bakul makanan dan lain-lain program.

Agensi pelancongan pula dengan pakej “wisata bencana” akan berjaya menarik peminat-peminat mereka yang tersendiri, di samping mengadakan ibadah korban acara melawat tempat-tempat menarik yang pastinya akan menambahkan koleksi pengalaman peserta.

Antara negara yang paling besar manfaat ibadah korban ini ialah kawasan bergolak serta terpuruk seperti Gaza, Syria serta Afghanistan. Risikonya lumayan besar paralel dengan manfaat kepada warga tempat tersebut, penderitaan negara ini bertindan-tindih namun akses ke tempat begini sangat sukar.

Aktivis berdepan dengan pelbagai risiko dan karenah birokrasi, maut mengintai dan gerah menunggu masa menyerkap anggota misi bantuan. Harga binatang korban di negara sebegini biasanya tinggi, juga kos pengurusan yang biasanya disalurkan kepada NGO kolaborasi.

Antara negara yang berbaloi untuk melaksanakan ibadah korban ialah di benua Afrika. Pengalaman penulis di Afrika, korban bukan sekadar acara agihan lembu kepada asnaf namun acara dakwah secara besar-besaran kepada kaum pagan.

Ulama di Afrika berijtihad, dibolehkan muslim mengagihkan daging korban kepada puak pagan ini yang mudah ditarik kepada agama Islam. Daging korban juga diagihkan kepada pelbagai pusat tahfiz yang sangat dhaif, termasuk guratan wajah penuh bahagia apabila menerima naskah al-Quran wakaf.

Negara kontang ini juga sangat memerlukan telaga tiub, sumber air yang terhad dengan cuaca panas dan kering sangat perlu kepada telaga tiub yang dikongsi oleh ratusan keluarga dhaif.

Negara Afrika, benua gelap yang mengalami proses penjajahan kuasa Barat pada abad 18,19 dan awal abad 20. Imperialisme bukan sekadar memandulkan akal anak tempatan, dijarah hasil bumi serta dipindahkan sistem nilai Barat yang kontang manusiawi.

Kuasa seperti Perancis, British, Itali berlumba meratah kemanusiaan serta akhirnya menjalankan perhambaan, pemerdagangan manusia. Pasca kemerdekaan, negara negara ini kebanyakannya diterajui oleh regim yang korup.

Kemiskinan dan kemelaratan tetap berlangsung puluhan tahun walaupun selepas dimerdekakan. Afrika tetap marak dengan api peperangan saudara, konflik adukuasa, bencana alam yang ekstrem, maka usaha membawa ibadah korban ke negara-negara seperti Sudan, Siera Leon, Namibia, Somalia, Ghana, Republik Chad, Nigeria, Eritrea, Somali Land dan lain-lain negara sangatlah perlu.

Negara-negara di Sub kontinen seperti India, Pakistan, Bangladesh, Afghanistan, Sri Langka juga menjadi pilihan NGO dan badan kebajikan Islam untuk melaksanakan ibadah korban serta dipakejkan dengan program-program kebajikan yang lain.

Rantau ini sambutan ibadah korbannya sangat meriah dan luar biasa. Faktor mazhab Hanafi yang mewajibkan ibadah korban, juga negara dengan populasi muslim yang tinggi, berselimut dengan kemiskinan. Afghanistan paling wajar dibantu untuk ibadah korban apabila negara bergunung-ganang ini lebih empat dekad terbabit dalam konflik peperangan.

Peta luka umat Islam yang sangat wajar diberi perhatian juga ialah kem pengungsian Muslim Rohingya di Cox Bazaar, Bangladesh. Namun cabarannya besar apabila urusan ke sana sangat renyah, apatah lagi penindasan regim Bangladesh terhadap Jamiat Islam serta jaringan NGO-nya seperti Masjid Mission.

Dua juta pelarian yang menjadi mangsa kekejaman penghapusan etnik oleh regim Mynmar sangat perlukan sumber protein. Makanan harian mereka ialah nasi berlaukkan garam, atau yang paling membuka selera ialah nasi berlaukkan kuah kacang dal!

Aktivis, Dr Riduan Mohamad Nor bersama rakan seperjuangan mengagihkan telekung solat kepada penduduk setempat di Kampung Cham, Cambodia.

Antara negara yang menunjukkan perkembangan dakwah, pemberdayaan muslim yang semakin baik akibat daripada program korban ialah di Cambodia dan Selatan Filipina. Sejak dua dekad kebelakangan ini dua tempat ini sangat popular untuk ibadah korban.

Pertama kerana harga binatang korban secara rekatif masih murah kerana dua lokasi muslim ini adalah kawasan agrarian. Semenjak aktifnya NGO, gerakan swadaya muslim, pelbagai pihak ke negara ini maka berlaku pertambahan pesat pembinaan madrasah, masjid, sekolah tahfiz bahkan merangsang ekonomi kelompok minoriti muslim disana dengan pelbagai cara.

Dalam keterujaan menikmati ibadah korban, ada yang mengambil kesempatan dalam kesempitan. Apabila ada yang begitu obses pancingan keuntungan daripada ibadah korban, akhirnya masuk perangkap “Conman”.

Terdapat kes pihak ketiga yang menjual lembu dengan harga murah, jauh dibawah harga pasaran. Rupanya lembu yang tak cukup umur, malah di negara seperti Cambodia, ada daging-daging lembu dijual pula kepada bukan Islam dengan harga yang rendah.

Sang penipu melahap dua kali lipat keuntungan, sebab itulah ibadah korban ini tidak boleh dibuat sambil lewa dan bermudah-mudah. Ada kampung yang terlebih bekalan lembu sehingga dibolot oleh keluarga “pihak ketiga” dengan melampau.

Zaman edan ini kejujuran tak lagi menjadi fokus utama kerana lembaran kertas menyihir segala mandraguna kehidupan!

Sebab itu segalanya bermuara daripada qasad yang lurus, asal muasalnya daripada niat yang jitu, membantu orang lain. Ibadah korban ini ada yang diuruskan oleh syarikat gergasi wakalah sehingga mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Megah berdiri papan iklan dengan kos yang besar, iklan di media arus perdana namun ketelitian dalam melaksanaka ibadah ini juga penting. Apabila pihak yang menguruskan ibadah korban tanpa pernah memegang pisau sembelih, tak pernah membumi urusannya, bernuansa keuntungan duniawi maka punah jahanam ibadah yang mulia ini.

“Sad but true” kata James Hetfield, meraung bersenandung dengan riff yang keras daripada Kirk Hammet. Dunia ini sangat berpelangi , menggiurkan seperti padang rumput menghijau…mampu menyita kewarasan berfikir umat manusia!

Penulis ialah aktivis bantuan tanpa sempadan, Pengerusi LESTARI. – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -