RISDA bantu bangunkan semula kebun getah terjejas banjir Baling

- Advertisement -

BALING: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan membantu 140 pekebun kecil di daerah ini untuk menjalankan penanaman dan pembangunan semula kebun getah yang terjejas akibat banjir dan kepala air, baru-baru ini.

Pengerusi RISDA Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata bantuan penanaman dan pembangunan semula kebun seluas 98 hektar itu disediakan melalui Rancangan Pemulihan Kebun (RPK) yang termasuk membaik pulih jalan pertanian bagi kebun tersebut.

“Mereka (pekebun kecil) layak menerima bantuan pemulihan pada kadar maksimum RM7,710 sehektar.

“Bagi kemusnahan atau kerosakan tanaman ini mereka layak menerima bantuan pemulihan kebun berupa pemulihan kawasan, baja, benih dan prasarana,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja di Kampung Iboi yang turut terjejas bencana itu di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Salim berkata RISDA masih meneruskan usaha mengenal pasti jumlah keseluruhan kawasan kebun pekebun kecil yang terjejas untuk memastikan golongan itu terus dibantu menerusi RPK berkenaan.

“Daerah Baling mempunyai pekebun kecil seramai 13,121 orang dengan keluasan penanaman getah seluas 13,988.51 hektar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Salim berkata seramai enam usahawan bimbingan RISDA yang terkesan dalam bencana itu akan turut dibantu bagi memulakan semula perniagaan masing-masing dengan dua daripadanya mengalami kemusnahan keseluruhan premis manakala selebihnya menghadapi kerosakan kecil.

Beliau berkata RISDA juga melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Yayasan RISDA iaitu memberikan sumbangan RM100,000 melibatkan 1,000 unit bantuan bekalan makanan kepada penduduk terjejas bencana itu.

Katanya RISDA juga akan memberikan bantuan wang tunai secara sekali beri sebanyak RM1,000 setiap sebuah rumah kepada penghuni 17 rumah yang musnah dan rosak teruk akibat bencana itu.

Banjir pada 4 Julai lepas menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -