Mangsa banjir dibantu tanpa mengira kaum, agama

- Advertisement -

BALING: Mangsa yang terbabit dengan aliran puing di beberapa kampung di sini baru-baru ini dibantu kerajaan negeri tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

Exco kerajaan negeri Brigedier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad berkata, kaum Tionghua yang terjejas akibat banjir turut menerima sumbangan wang tunai.

Katanya, pemberian sumbangan itu diberi secara berperingkat dari semasa ke semasa.

- Advertisement -

“Mangsa banjir yang belum menerima sumbangan akan diberikan dengan kadar segera tanpa mengira latar belakang mereka.

“Masa pemberian sumbangan agak terhad. InsyaAllah program pemberian sumbangan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” kata beliau ketika menyampaikan sumbangan tersebut kepada penduduk Cina semalam.

Pada kejadian aliran puing baru-baru ini tiga penduduk menjadi mangsa apabila dihanyut arus deras di Kampung Iboi. Mangsa terbabit iaitu Salmah Mat Akib, 53, anaknya Mohd Khairul Ikhwan, 14 dan menantunya Nurul Hanis Abu Hassan, 23.

Sebanyak 11 kampung dikenal pasti terjejas akibat banjir tersebut termasuk Kampung Bendang Padang, Kampung Iboi, Padang Ampang, Tok Saba, Hangus dan Pisang.

Manakala pada majlis berasingan baru-baru ini Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehudin dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff mengadakan lawatan dan menziarahi mangsa-mangsa aliran puing tersebut.

Baginda melawat Kampung Iboi yang terjejas teruk akibat aliran puing.

Baginda juga menyampaikan sumbangan wang tunai dan barang keperluan harian yang disumbangkan Baitulmal Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) kepada 112 keluarga.

Manakala anakanda baginda turut berkenan mengurniakan khidmat sosial membersihkan di perkarangan Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang yang turut terjejas teruk akibat bencana tersebut.

Sebelum itu baginda mendengar taklimat di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di hadapan Tadika KEMAS Kampung Bendang Bechah.

Taklimat disampaikan Ketua Polis Daerah Baling, Sup. Shamsudin Mamat dan Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah. – UPDA

- Advertisement -