Anak ‘Mat Saleh’ teruja pakai tanjak di Amerika Syarikat

Ayez Shaukat Fonseka menghangatkan budaya Melayu di Amerika Syarikat melalui kemunculannya dalam program, Reality of Wrestling. (FOTO Instagram Ayez Shaukat Fonseka)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Budaya Melayu semakin mendapat pengiktirafan dunia setelah seorang anak ‘Mat Saleh’ berasa sangat teruja dipakaikan tanjak oleh ahli gusti profesional negara, Ayez Shaukat Fonseka pada program televisyen, Reality of Wrestling di Amerika Syarikat.

Reality of Wrestling ialah sebuah program TV yang diadakan sebagai promosi kepada acara gusti profesional bebas yang berpangkalan di Houston, Texas.

- Advertisement -

Dalam sebuah video yang dikongsi Shaukat baru-baru ini, anak Mat Saleh itu ternyata begitu teruja, gembira dan berminat untuk mengetahui budaya Melayu.

Sumber dari laman sosial Facebook Malay Dialects (Indonesian, Malaysian and other Malay Variants) melaporkan Shaukat bukan sahaja berjuang untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia tetapi turut memperluaskan budaya nusantara di Amerika Syarikat.

“Salah satu saat kebanggaan saya apabila di bumi Amerika Syarikat, kanak-kanak begitu menyukai saya sehingga setiap kali mereka melihat saya, mereka akan membuat ‘sembah’ terhadap saya dan serbu saya di luar studio rakaman untuk bergambar, meminta tandatangan dan berborak.

“Pemakaian saya dilihat cool seperti seorang superhero, dan mereka pertama kali melihat tanjak dan songket. ‘Beautiful’. Comel bila ada yang samakan saya seperti watak Piccolo dalam anime Dragon Ball,” ujar Shaukat.

Menurutnya, peminatnya teruja mendengar dia bercerita seolah-olah seperti berada di alam fantasi apabila dia bercerita serba sedikit mengenai negara Malaysia, serta budaya Melayu, silat, kepahlawanan dan pendekar.

Katanya lagi, dia juga memilih untuk mewakili bahagian Melayu di pentas Hollywood kerana inginkan ‘Reprensentation’ (perwakilan) orang Melayu di kaca TV antarabangsa.

“Di sana, rakan-rakan Asia Tenggara kami sudah dikenali. Indonesia, Singapura, Siam (Thailand), Filipina, Kemboja (semua sudah dikenali). Dari Asia pula dari India, Cina, Korea dan Jepun. Kita lihat di siri TV atau di filem, ada saja watak-watak dari bangsa ini, tapi belum pernah ada watak Melayu Malaysia.

Wajah seorang kanak-kanak Amerika Syarikat yang teruja apabila dipakai tanjak dalam sebuah video yang dikongsi Shaukat baru-baru ini. (FOTO TikTok Coachshaukat)

“Representation penting, sebab apa? Pernah tak bila anda lihat watak Islam dalam TV atau filem Hollywood, anda berasa bangga, kerana ‘mereka sama seperti kita’? Ini adalah impak representation – untuk membuatkan anak muda bangga dengan identiti budaya sendiri,” katanya yang mempunyai darah campuran Melayu dan Serani (Eurasian).

Mengulas lanjut, Shaukat berkata, dia berharap pada masa hadapan nanti, anak-anak Malaysia dapat lihat identiti budaya Melayu di kaca TV antarabangsa, dan mereka boleh berbangga, mengenalpasti dan kaitkan diri mereka dengan watak tersebut.

Shaukat berkata lagi, dia berbangga dengan keturunan Melayunya kerana ia bangsa yang berbudi bahasa, lembut, berhemah dan kuat pendirian serta itulah yang asli dan tulen yang dia fahami daripada sejarah.

“Jangan bandingkan Melayu asli dan tulen dengan generasi yang telah ‘dicairkan’ oleh peredaran zaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2022

- Advertisement -