Penyatuan ummah merintis kemenangan

- Advertisement -

ALLAHUAKBAR! Allahuakbar! Allahuakbar!

Ibadah Haji adalah simbol tertinggi penyatuan ummah di dalam masyarakat Islam. Di dalam menyempurnakan ibadah tersebut, umat Islam dari seluruh dunia bertamu di Makkah yang merupakan kiblat mereka tidak kira di manapun mereka berada. Semua tetamu Allah S.W.T ini berpakaian dengan satu ragam tidak kira apapun darjat mereka. Kemuncak kepada Ibadah Haji, para hujjaj berwukuf di Arafah yang menjadi himpunan paling agung umat Islam setiap tahun.

Jelas sekali, sekiranya umat Islam menghayati hikmah di sebalik Ibadah Haji, umat Islam tidak akan bercerai-berai. Apatah lagi, bila direnungi kembali khutbah Baginda Rasulullah S.A.W sewaktu Haji Perpisahan di Arafah, betapa Baginda memperingatkan umat Baginda supaya menjaga silaturrahim, memberi hak kepada yang berhak dan menjaga kesatuan mereka. Wasiat Baginda S.A.W ini telah menjadi panduan dan pemangkin untuk Sahabat-sahabat Baginda membuka pelosok dunia yang diselubungi kejahilan dan kezaliman ketika itu.

Malangnya umat Islam sering terlalai dari mengambil iktibar dan menghayati hikmah di sebalik ibadah Haji. Mereka begitu mudah digoyahkan oleh musuh-musuh dengan diadu-dombakan sesama mereka, sehingga banyak sekali episod sejarah, umat Islam berpecah dan bertelingkah. Bila mana mereka berpecah dan bertelingkah, ada kelompok yang sanggup menggadaikan prinsip mereka bersekongkol dengan pihak-pihak musuh yang wujud sepanjang zaman.

Ketika umat Islam di Malaysia hari ini menyambut AidilAdha, fenomena filem Mat Kilau masih terasa. Filem yang menjadi pengajaran besar kepada umat Islam di Malaysia, bahawa kesatuan ummah adalah pra-syarat terpenting untuk mereka mempertahankan maruah mereka dan menghadapi kerakusan penjajah yang mahu merampas ibu pertiwi mereka. Ramai tokoh-tokoh pahlawan umat Islam di tanah air seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Tok Guru Abdul Rahman Limbong dan lain-lain berkorban, di ketika yang sama ada pula golongan pengkhianat dari kalangan kita.

Aidiladha pada hari ini hampir pasti adalah yang terakhir sebelum umat Islam di Malaysia menghadapi PRU15. Parlimen Malaysia akan dengan sendirinya terbubar selepas bulan Mei tahun 2023 nanti, iaitu sebelum kita menyambut sekali lagi Aidiladha pada tahun hadapan. Hari ini kita dapat perhatikan, dalam menghadapi PRU yang sangat penting ini, umat Islam bercerai-berai. Perpecahan berlaku sesama parti-parti politik umat Islam. Ada kelompok dari kalangan umat Islam sudah tidak lagi meletakkan harapan kepada ahli-ahli politik. Demikian juga, ada kelompok kecil umat Islam yang masih belum sedar menjadi tali-barut golongan anti Islam.

Di hari yang mulia ini, saya menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia, agar kita kembali merapatkan saf seperti mana kita merapatkan kembali saf selepas berlalunya SOP penjarakan fizikal. Marilah kita bersatu hati sebagaimana bersatunya kita mengadap kiblat yang sama. Ayuh kita jadikan Malaysia sebagai tapak pencetus peradaban Islam global, demi menaungi keselamatan ummah dan menegakkan keadilan sejagat. Yakinlah, sekiranya umat Islam bersatu, selepas PRU15 nanti Pulau Pinang pun dapat ditawan semula.

Salam Eidul Adha al-Mubarak.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -