ALLAHU AKBAR! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillah hilhamd.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” buat semua umat Islam khususnya di Negeri Kedah Darul Aman yang sedang merayakan Aidil Adha pada hari ini.
Sejak semalam iaitu pada Hari Arafah kita telah mula menunaikan pelbagai ibadah sunat menyertai saudara kita yang melaksanakan ibadah Haji di Tanah Suci.
Antara ibadah sunat yang paling afdhal pada Hari Arafah ialah berpuasa dan berdoa sebagaimana sabda Nabi SAW yang diriwayatkan Abdullah bin Amr’ bahawa “sebaik-baik doa adalah pada Hari Arafah”.
Kita juga disunatkan untuk bertakbir Muqayyad bermula selepas solat Subuh pada 9 Zulhijjah, dan diteruskan setiap kali selepas solat fardu hingga waktu Asar 13 Zulhijjah.
Selain itu, sebagaimana yang kita sedia maklum, Aidil Adha adalah hari di mana kita digalakkan untuk melaksanakan ibadah korban lada hari-hari Tasyrik bermula 10 hingga 13 Zulhijjah.
Keutamaan kita dalam melaksanakan ibadah korban adalah dengan memberi makan kepada golongan miskin.
Ini amat signifikan dalam suasana kenaikan harga barang terutama makanan yang mengalami peningkatan mendadak akhir-akhir ini.
Justeru, dalam keadaan ini, ingin saya mengingatkan bahawa adalah amat penting bagi kita untuk kembali kepada falsafah ibadah korban iaitu membantu golongan kurang berkemampuan.
Ini menepati dasar Kerajaan Negeri untuk menjadikan Negeri Kedah sebagai ‘Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti’ dengan masyarakatnya begitu prihatin, bertolak ansur dan saling kasih mengasihi antara satu sama lain.
Sempena Aidil Adha ini, marilah kita sama-sama menjiwai semangat pengorbanan untuk sama-sama sanggup bersusah payah dalam meringankan beban sesama kita, mudah-mudahan dengan itu Allah SWT akan menurunkan rahmat dan mempermudahkan urusan kita semua dunia akhirat.
Pada petang 4 Julai lalu, negeri kita sekali lagi ditimpa ujian daripada Allah SWT dengan tragedi ‘kepala air’ di Kupang, Baling yang meragut tiga nyawa sekeluarga.
Setahun lalu iaitu pada bulan Ogos 2021, kita telah diuji dengan bencana yang hampir serupa melanda Daerah Yan dan Kuala Muda.
Walau apa jua pun sebab dan musababnya, sesungguhnya ini adalah ujian untuk kita bermuhasabah diri, bersikap reda dan sabar dalam menghadapi takdir.
Lebih daripada itu, inilah masanya untuk kita menjiwai semangat pengorbanan dan kesanggupan untuk membantu saudara kita yang sedang dalam kesusahan.
Untuk menjadi seorang yang menang dalam menghadapi ujian seperti ini, elakkan daripada menuding jari mencari kesalahan orang lain lebih-lebih lagi untuk melindungi kesalahan atau kelemahan diri sendiri.
Kesedaran untuk membetulkan sikap, terutama dalam waktu krisis akan memberi nilai dan makna pada kehadiran diri kita dalam masyarakat, dan juga kehidupan kita dunia dan akhirat.
Jadikanlan Hari Raya ini untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengeratkan lagi kasih sayang dan semangat persaudaraan Islam yang membawa berkat kepada kehidupan di dunia dan keselamatan di hari akhirat.
Maaf zahir dan batin.
Sekian. Wabillahhitaufiq wal hidaayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
10 Zulhijjah 1443 | 10 Julai 2022 – HARAKAHDAILY 10/7/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!