JAM PP, KM hantar sukarelawan ke Baling

- Advertisement -

Oleh ARR RAHMAN MOHAMED ZAKARIA

KUPANG: Seramai 155 sukarelawan daripada Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Pulau Pinang dan JAM Negeri Kedah termasuk Khidmat Malaysia (KM) Negeri Pulau Pinang terlibat dalam operasi membersihkan kawasan terjejas akibat banjir di Baling.

Operasi pembersihan itu dilaksanakan dalam program Misi Bantuan Banjir Hari Ke-4 di Kupang pada 7 Julai 2022 anjuran JAM Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Khidmat Malaysia Negeri Pulau Pinang.

- Advertisement -

Menurut Pengarah JAM Negeri Pulau Pinang, Muhammad Nazrul Ali, program berkenaan bertujuan meringankan beban penduduk Baling yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda pada Ahad lalu.

Turut bersama dalam misi ini Timbalan Pengarah 1 JAM Negeri Pulau Pinang, Nizar Ahmad Tajudin dan Ketua Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajuddin Abu Bakar.

Katanya, misi berkenaan berakhir pada hari ini membabitkan kawasan-kawasan berbaki yang terjejas.

“Terima kasih kepada penyumbang-penyumbang yang menyalurkan sumbangan untuk kita hulurkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam banjir lumpur ini,” ucap Muhammad Nazrul.

Petugas-petugas yang terlibat membersihkan tambak selut yang berada di sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Sheh.

“Alhamdulillah, (Jabatan) Amal Pulau Pinang tidak pernah terlepas walaupun satu hari untuk menghantar petugas ke sini, dan hari ini, kita berjaya menghantar petugas seramai 155 orang termasuk petugas Khidmat Malaysia Pulau Pinang,” kata Nizar Ahmad.

Wakil guru SK Syed Sheh mengucapkan terima kasih kepada JAM Pulau Pinang yang menolong membersihkan sekolah tersebut.

Kawasan lain yang turut dibersihkan melibatkan Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah dan rumah-rumah penduduk yang terkesan dengan banjir. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -