Keluarga hilang rumah disedia penempatan baharu

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

BALING:
Kerajaan Kedah menyediakan lot seluas dua ekar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Sadik untuk menempatkan keluarga yang hilang tempat tinggal akibat bencana kepala air, Kampung Iboi, 4 Julai lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses mengambil alih tanah berkenaan akan dibuat sebaik sahaja diserahkan secara rasmi pihak terbabit.

“Kerajaan melalui Tabung Kedah Care akan membuat gantian semula kepada penduduk yang hilang kediaman pada bencana itu,” ujar beliau pada majlis serahan bantuan Kerajaan Terengganu dan Kelantan di Bilik Operasi Banjir, Markas PAS Baling, hari ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun kata beliau gantian tapak kediaman hanya melibatkan penduduk yang hilang terus rumah dan tinggal di tanah rizab kerajaan.

Manakala kata beliau rumah yang rosak akan diperbaiki dan kekal di tapak asal sekiranya tidak berisiko.

Sanusi berkata, berdasar laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Baling sebanyak 15 rumah rosak sepenuhnya dan 18 rosak teruk, manakala 802 lagi terkesan dengan kejadian itu.

“Laporan lengkap punca kejadian akan diperolehi dalam tempoh seminggu lagi. Namun ramai ahli kaji bumi berpejabat di Facebook, Whatsapp dan Tiktok sibuk dok buat ulasan.

“Sebagai ketua kerajaan, saya akan menunggu penilaian daripada agensi dan jabatan yang terlibat untuk mengetahui punca kejadian,” tambahnya.

Kejadian kepala air di Kampong Iboi 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa selain 15 keluarga kehilangan tempat tinggal dan melibatkan 12 kampung. – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -