Kejayaan PAS Pilihanku 4.0 isyarat positif masa depan PAS

- Advertisement -

KEKUATAN sesebuah parti politik selain diukur dari kemampuan menang kerusi ianya juga disandarkan pada kemampuannya mengumpul seramai mungkin ahli untuk mendukung dan berdiri di belakang perjuangannya. Kekuatan ahli yang besarlah yang akan membantu parti dari sudut dana, dan jentera pilihan raya.

Ini penting khasnya di kawasan luar bandar, kiranya satu-satu parti hanya muncul bermusim atau atas nama semata-mata tanpa memiliki cawangan dan keahlian yang kukuh, ia akan menghadapi masalah apabila meletakkan calon di kawasan-kawasan ini. 

Kawasan luar bandar luas dan tanpa ahli atau cawangan di setiap ceruk dan penjuru, lazimnya parti itu tidak mampu memobilisasi persediaan yang cukup, berkemungkinan besar ia akan kalah.

Demikian juga di kawasan bandar, sistem pilihan raya yang kita amalkan membenarkan parti-parti politik melantik ejen bukannya hanya untuk berkempen tetapi menjadi wakil semasa proses mengundi dan pengiraan undi. 

Kiranya parti-parti tadi tiada kekuatan keahlian, ia tidak mampu menurunkan ejen dan ini sudah pasti akan menimbulkan masalah buatnya.

Kerana itu kita lihat parti-parti politik utama dalam negara masing-masing memiliki kekuatan keahlian yang besar. 

Bagi meraih sokongan dari kalangan orang-orang Melayu, persaingan puluhan tahun sejak sebelum Merdeka lagi adalah antara dua parti besar Melayu, iaitu PAS dan Umno. Umno ternyata dengan ‘advantage’ menjadi Kerajaan sejak sebelum Merdeka di bawah naungan British dan kemudiannya menerajui negara selepas Merdeka memiliki kekuatan ahli di kalangan Melayu dan Bumiputera yang terbesar.

Ketika Perhimpunan Agung Umno 2021 bulan Mac lalu, Setiausaha Agung Umno melaporkan yang Umno punya 3.3 juta ahli seluruh negara. Keahlian teramainya terletak di Sabah diikuti Johor dan ketiga Selangor.

Sabtu lepas semasa kempen Pelancaran PAS Pilihanku 4.0 di Sik, Kedah Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan setakat Jun tahun ini PAS telah mencatatkan keahlian seramai 1,003,210 ahli seluruh negara. 

Angka ini adalah angka bersih iaitu setelah melalui proses pemutihan dengan menggugurkan nama-nama ahli yang telah meninggal dunia serta yang telah tiada lagi berada dalam parti.

Pada PRU ke 14 lalu PAS bertanding bersendirian di 158 dari 222 kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk beberapa kerusi di Sabah dan Sarawak dan menurut rekod calon-calon PAS menerima sejumlah 2,043,159 undi atau 18 peratus undi popular berbanding BN 32 peratus dan PH 50.1 peratus.

Ternyata sejak penubuhannya lebih 71 tahun dahulu PAS telah bangkit dari sebuah parti yang kecil yang tidak dikenali, hari ini menjadi sebuah parti arus perdana yang bukan hanya dikenali dalam negara malah di luar negara.

Sepanjang sejarahnya PAS diberikan pelbagai label, pernah dikaitkan kononnya dengan Komunis, pro Sukarno, pengganas dan pelbagai lagi tohmahan. Ada pimpinannya ditahan di bawah pelbagai undang-undang termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri dan malah ada yang dicederakan dan terbunuh. 

Segalanya langsung tidak mematahkan semangat ahli-ahli PAS yang terus bersabar dan bertungkus-lumus menjayakan satu-satunya parti Islam dalam negara ini.

PAS kini menerajui kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah, memilik 18 kerusi Parlimen dengan 3 Menteri Persekutuan serta 5 Timbalan Menteri dalam kerajaan campuran ‘Keluarga Malaysia’. Di peringkat negeri PAS menang dan punya 89 kerusi diwakili di 8 buah negeri. Terbaru juga diwakili dengan seorang ADUN dilantik di Sabah.

Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa pencapaian besar PAS hari ini bukanlah semata-mata kerana kehebatan pimpinannya atau organisasinya hari ini tetapi sesungguhnya ia cemerlang lantaran semangat perjuangan, doa, air mata dan darah yang dikorbankan oleh ribuan ahli dan pimpinannya sejak puluhan tahun dahulu turun-temurun.

Baru-baru ini untuk menguji kesungguhan dan semangat serta komitmen ahli-ahli PAS seluruh negara PAS Pusat mengeluarkan arahan agar PAS Negeri-negeri menggerakkan jentera masing-masing untuk mendaftarkan seramai mungkin ahli-ahli baru PAS dalam tempoh 8 hari sahaja. 

Ini sempena pelancaran program PAS Pilihanku 4.0 yang akan disempurnakan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Hashim Jasin di Sik Kedah pada 25 Jun.

PAS Pusat malah menetapkan angka minima yang perlu didaftarkan oleh PAS Kawasan-kawasan setiap negeri. Ianya cukup mencabar dan bukannya mudah dipenuhi dalam tempoh sesingkat 8 hari sahaja.

Di sinilah terserlah daya juang ahli-ahli PAS di pelbagai peringkat. Dalam suasana politik semasa yang cukup mencabar adakah masih rakyat Malaysia khasnya umat Melayu Islam yang mahu mendaftarkan diri sebagai ahli PAS?

Setelah berhempas pulas, dalam tempoh yang cukup mencabar ini, terbukti ahli-ahli PAS yang istiqamah sentiasa bersiap-siaga dan bersedia berkhidmat untuk parti dalam apa suasana sekalipun. 

Pada hari pelancaran kempen di Sik, telah diumumkan bahawa sejumlah 9,241 ahli baru telah berjaya didaftarkan seluruh negara dalam tempoh 8 hari itu.

Ini bersamaan dengan lebih 1,155 ahli setiap hari, cukup hebat!

Kedah menjuarai jumlah ahli baru sepanjang tempoh berkenaan iaitu seramai 2,555 ahli diikuti Kelantan seramai 1,920 ahli dan tempat ketiga Selangor 1,053 ahli baru.

Kemampuan PAS Selangor mendapat tempat ketiga perlu diberi perhatian semua pihak khasnya kawan mahupun lawan. Ini kerana Selangor adalah sebuah negeri yang dikuasai Pakatan Harapan dan PAS cuma menang 1 kerusi DUN pada PRU ke 14 lalu.

Dengan kemampuan ini ternyata PAS Selangor bakal muncul sebagai sebuah kuasa politik yang bertenaga khasnya di negeri itu dan pencapaian ini perlulah diambil kira oleh mereka yang ingin bermuafakat dan bekerjasama dengannya apatah lagi pihak musuh.

Apa pun dengan pelancaran kempen ini terbukti ahli-ahli PAS di setiap peringkat sentiasa bersiap-sedia dan berkobar-kobar semangatnya untuk melonjakkan PAS ke tahap pencapaian yang lebih besar khasnya pada PRU ke 15 nanti.

Semoga segala usaha dan pengorbanan ahli-ahlinya sama ada yang telah pergi mendahului kita mahupun yang masih kekal berjuang akan diberkati Allah S.W.T dan cita-cita PAS menjadikan Islam sebagai kunci penyatuan dan perpaduan ummah akan dapat direalisasikan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 4/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -