Tangani cabaran sekuriti makanan menerusi teknologi

- Advertisement -

SEKURITI makanan, sumber alam dan ekonomi adalah perkara perlu diberi perhatian mana-mana kerajaan pada masa ini. Krisis sekuriti makanan kini adalah masalah global dan Malaysia tidak terkecuali berdepan masalah bekalan bahan makanan yang agak terjejas selepas pandemik sejak 2020 yang belum menunjukkan ia akan berakhir dalam tempoh terdekat.

Hari ini saya turut menghadiri Mesyuarat Kerjasama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Dr Adham bin Baba selaku Menteri MOSTI. Turut hadir pada mesyuarat hari ini, YB Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi, Timbalan Menteri II MAFI mengetuai delegasi daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

MOSTI telah membentangkan hasil dapatan dan teknologi-teknologi yang ada di dalam pangkalan data MOSTI untuk dikongsikan dalam membantu mencari penyelesaian bagi menangani isu sekuriti makanan. Sebanyak 46 penyelesaian teknologi dan 27 daripadanya dikenalpasti sedia untuk diguna pakai secara meluas bagi membantu negara menangani isu sekuriti makanan dalam jangka masa pendek. 

Penyelesaian teknologi yang dikenalpasti terbahagi kepada beberapa kluster iaitu biji benih, biobaja dan baja penggalak, penggunaan dron dan robotik, perkhidmatan ujian dan Aplikasi Internet Kebendaan (IoT), akuakultur serta makanan ternakan.

Negara perlu meningkatkan kemahiran dan produktiviti petani kerana mereka adalah tonggak meneruskan pengeluaran makanan sejak dulu dan untuk masa hadapan. Dengan adanya penyelesaian teknologi yang cekap, maka produktiviti boleh ditingkatkan sekali gus menjamin bekalan makanan di negara kita.

YB DATO’ AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
Timbalan Menteri
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) – HARAKAHDAILY 29/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -