Berlapang dada dengan teguran seorang wanita

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 42)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

Advertisement

MASRUQ berkata: Umar menaiki mimbar, lalu berucap:
أيها الناس ، ما إكثاركم في صدق النساء وقد كان رسول الله صلى الله عليه وسلم وأصحابه وإنما الصدقات فيما بينهم أربعمائة درهم فما دون ذلك . ولو كان الإكثار في ذلك تقوى عند الله أو كرامة لم تسبقوهم إليها . فلا أعرفن ما زاد رجل في صداق امرأة على أربعمائة درهم

‘Wahai manusia! Kenapa kamu beri maskahwin yang banyak, sedangkan Nabi dan para Sahabat hanya beri 400 dirham atau kurang. Jika beri banyak itu menjadi tanda taqwa kepada Allah atau kemuliaan, tentulah kamu tidak dapat mendahului mereka. Aku tidak tahu kalau ada yang menambah maskahwin mereka melebihi 400 dirham.’

Umar turun dari mimbar. Seorang wanita Quraisy tiba-tiba berdiri di depannya.

Katanya: ‘Wahai Amir al-Mukminin! Kamu larang manusia dari menambah maskahwin lebih dari 400 dirham?’
Jawab Umar: Ya.
Wanita itu berkata: ‘Engkau tidak dengar apa yang Allah turunkan dalam al-Quran?’

Umar bertanya: ‘Apa itu?’
Wanita itu berkata: ‘Tidakkah engkau mendengar Allah berfirman:
وَإِنْ أَرَدتُّمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَّكَانَ زَوْجٍ وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا ۚ أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا (20) وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا (21)

Maksudnya: “Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali dari padanya barang sedikitpun.

Apakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan (menanggung) dosa yang nyata? Bagaimana kamu akan mengambilnya kembali, padahal sebagian kamu telah bergaul (bercampur) dengan yang lain sebagai suami-isteri. Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.” An-Nisa’: 20, 21.

Lalu Umar berkata: ‘Ya Allah! Aku pohon keampunanMu. Semua orang lebih faham dari Umar.’

Umar kembali menaiki mimbar dan berucap:
‘Wahai manusia! Tadi aku larang kamu lebihkan maskahwin dari 400 dirham. Sesiapa yang mahu beri dari hartanya, terpulanglah.’

(Tafsir Ibn Kathir)

Pengajaran:

1 – Sebagai seorang ketua negara, Umar berhak memberi panduan kepada rakyatnya untuk mengurus segala perkara, termasuk yang berkaitan dengan urusan pernikahan.

2 – Perkahwinan yang diberkati, antaranya melalui maskahwin yang sesuai, tidak terlalu tinggi, tidak terlalu rendah.

3 – Rakyat pula boleh memberi cadangan, pandangan dan teguran kepada pemimpin sekiranya apa yang disebut bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah.

4 – Wanita adalah sebahagian dari rakyat dalam sebuah negara. Suara mereka juga perlu didengari.

5 – Dalam konteks negara kita, kita ada pelbagai jawatan, jabatan dan agensi yang meletakkan wanita dan suara mereka di tempat yang sesuai.

6 – Tidak salah seorang pemimpin menarik balik ucapannya jika dia mendapati ia bercanggah dengan kehendak agama.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu