Masjid lenyap: Seriuskah kita bantahan dan tuntutan?

- Advertisement -

BARU-baru ini ada seorang jemaah sebuah surau mengadu mengenai sebuah masjid di Cheras yang telah hilang untuk selama-lamanya. Katanya DYMM Sultan Selangor pernah bersolat Jumaat di situ sebelum Perang Dunia Kedua tetapi akhirnya masjid itu telah bertukar menjadi sebuah kilang dan hari ini di atas tapaknya telah didirikan sebuah projek komersil. Menurut beliau, bersama-sama beberapa orang sahabat mereka telah berusaha membongkar semula kes ini sehingga mendapat perhatian media. Sebuah akhbar telah menyiarkan beberapa siri kisah masjid tersebut pada tahun 70-an tetapi akhirnya kes itu hilang begitu sahaja.

Saya telah bertanya sama ada mereka telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak untuk kes ini dan jawapan beliau adalah tidak. Saya turut bertanya sama ada mereka telah berjumpa dengan Pejabat Tanah atau pemimpin politik seperti wakil rakyat dan jawapan mereka adalah tidak. Saya juga bertanya sama ada mereka telah menganjurkan perarakan atau demonstrasi untuk menarik perhatian rakyat dan jawapan mereka juga tidak.

Justeru saya tidak hairan mereka tidak berjaya menarik perhatian rakyat dan media yang lebih meluas kepada isu ini. Tanpa tekanan rakyat dan media sudah tentu tiada keperluan untuk kerajaan bertindak. Saya bukan menyalahkan jemaah surau tersebut dan sahabat-sahabatnya kerana kegagalan bertindak dengan agresif terhadap sesuatu isu adalah satu perkara biasa terutamanya bagi orang Melayu Islam. Seolah-olah mereka tidak ada stamina. Saya pernah terlibat dengan begitu banyak protes dan tuntutan sepanjang penglibatan saya di dalam politik.

Ada yang menuntut untuk membeli rumah kos rendah, ada yang menuntut pampasan setelah rumah mereka dirobohkan, ada yang menuntut diberikan tanah, ada yang memprotes projek perumahan di sebelah kampung mereka dan banyak lagi. Selalunya saya dapat menjangkakan protes atau tuntutan mana yang akan berjaya berdasarkan kesungguhan mereka yang terlibat.

Ada yang berpandangan ‘Kalau tak terbakar, kalau tak meletup, takde orang kisah!’ Pandangan seperti ini sudah tentu bertentangan dengan undang-undang tetapi ia menunjukkan betapa sesuatu yang drastik perlu dilakukan untuk menarik perhatian orang ramai, media dan kerajaan. Sesuatu yang drastik perlu dilakukan untuk mencetuskan kesedaran dan minat. Sudah tentu bukan membakar atau meletupkan sesuatu tetapi satu tindakan yang dapat menarik perhatian.

Ketika saya mempengerusikan pendengaran-pendengaran awam (public hearing) di Selangor untuk Rancangan Tempatan, saya berhadapan dengan pelbagai ragam pembantah. Ada yang begitu serius dan datang beramai-ramai. Saya pernah diberitahu oleh seorang pegawai kerajaan bahawa terdapat satu bantahan terhadap cadangan untuk mewujudkan sebuah tanah perkuburan di mana mereka yang membantah datang beramai-ramai dengan memakai baju hitam. Mereka sungguh agresif untuk mencapai matlamat mereka. Justeru jika terdapat mereka yang melakukan bantahan atau tuntutan tetapi begitu lembik dan hanya berupaya merengek bagaikan budak-budak tadika, jangan harap ada pihak yang mahu memberi perhatian.

Saya masih ingat pengalaman membantu penduduk sebuah rumah panjang di Ampang untuk mendapatkan kuota membeli rumah kos rendah. Kerana begitu lama menunggu, mereka telah berjumpa saya yang ketika itu Pengerusi Lajnah Peneroka Bandar PAS Negeri Selangor. Bersama jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan kami telah merancang tindakan-tindakan bagi mendapatkan publisiti untuk nasib mereka.

Pertama kami telah pergi ke Pejabat Daerah untuk berjumpa dengan Pegawai Daerah (DO). Seluruh penduduk rumah panjang itu telah turut bersama-sama ada tua atau muda termasuk kanak-kanak. Seperti yang dijangkakan, kakitangan di sana tidak membenarkan kami bertemu. Mungkin kerana kami tidak ada temu janji. Justeru kami telah memprotes dengan mengadakan ‘sit-in’. Kami telah beramai-ramai duduk di lobi pejabat DO tersebut. Walaupun cuba dihalau oleh pengawal keselamatan tetapi kami tidak berganjak. Dari pagi hingga ke tengah hari kami berkampung di situ. Suasana riuh-rendah kerana ada kanak-kanak yang menangis. Akhirnya pihak Pejabat Daerah terpaksa mengalah dan melayan kami.

Baru-baru ini ada penduduk yang mengadu kepada saya bagaimana mereka tidak layan di sebuah pejabat kerajaan. Mungkin mereka kurang agresif seperti penduduk rumah panjang tersebut. Kesatuan mereka tidak kira Melayu, Cina atau India membuat mereka dilayan dan diberi perhatian.

Setelah ke Pejabat DO, kami telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar dan DYMM Tuanku Sultan. Jawatankuasa bertindak telah menyewa sebuah bas untuk membawa penduduk ke Shah Alam dan Klang. Mereka begitu bersungguh-sungguh.

Di Shah Alam, pihak keselamatan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) terpaksa menutup pintu utama untuk menghalang bas kami masuk. Tetapi saya dan beberapa wakil penduduk telah berjaya membolosi kawalan keselamatan dan dengan izin Allah kami sampai ke pejabat Menteri Besar di tingkat 21. Ketika itu ramai VIP-VIP sedang menunggu Menteri Besar, Tan Sri Abu Hassan Omar dan kami berada di celah-celah mereka. Tugas kami untuk menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar telah berjaya. 

Di Istana Alam Shah, Klang layanan yang diberikan adalah lebih baik. Bas kami dibenarkan masuk ke kawasan Istana dan wartawan-wartawan yang bersama kami juga dibenarkan masuk. Penduduk juga boleh bergambar beramai-ramai. Pejabat Tuanku Sultan telah menerima memorandum kami dan kami telah dilayan dengan baik.

Saya menulis mengenai pengalaman ini sebagai panduan kepada mereka yang begitu cepat berputus-asa apabila mahu berjumpa dengan pemimpin-pemimpin kerajaan atau pegawai-pegawai kerajaan. Ada yang mengandaikan ia adalah satu tugas yang mustahil tetapi pada hakikatnya mereka tidak pernah mencuba. Alhamdulillah penduduk rumah panjang di Ampang itu telah dapat membeli rumah kos rendah mereka. Hari ini harga kediaman tersebut adalah berkali-kali ganda dari harga asal. Kesungguhan mereka telah membuahkan hasil.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 29/6/2022

- Advertisement -
- Advertisement -