UMK tawar Program Asasi pelajar lepasan pengajian tahfiz

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan menawarkan Program Asasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi-Tahfiz kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil pengajian tahfiz al-Quran.

Pegerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, pengambilan pertama program itu dijangka akan bermula pada semester Jun sesi 2023/2024 selepas mendapat kelulusan Kementerian Pegajian Tinggi (KPT).

Katanya, program pengajian itu akan mengambil masa selama satu tahun iaitu sebanyak dua semester yang dikendalikan di bawah Jabatan Sains Data (JSD) UMK.

“Melalui program itu UMK turut menawarkan beberapa kursus pengajian Tahfiz Bahasa al-Quran dan Fiqh Ayat-ayat al-Quran.

- Advertisement -

“Selain itu kurikulum FICT juga memgambil kira integrasi di antara ilmu al-Quran dan ICT dalam beberapa kursus yang ditawarkan.

“Syarat kemasukan bagi program itu memiliki dan lulus SPM lepasan Maahad Tahfiz, Maahad Sains Tahfiz, Sekolah menengah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan sekolah menengah agama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya juga keutamaan diberi kepada pelajar daripada keluarga golongan B40 selain mendapat sekurang-kurangnya tiga kepujian gred C termasuk kepujian Bahasa Melayu dan Matematik.

Selain itu, mereka juga menghafal sekurang-kurangnya lima juzuk al-Quran dan lulus temuduga.

Pada majlis itu UMK memberi diskaun jumlah bayaran yuran bagi pelajar yang mengikuti Latihan Industri (LI) sebanyak 78 peratus daripada jumlah asal.

Fatmi berkata, asas pemberian diskaun jumlah yuran sebagai tanda keprihatinan UMK terhadap kebajikan pelajar-pelajar terutama membantu mereka yang menghadapi masalah kewangan dan kos sara hidup yang meningkat. – HARAKAHDAILY 28/6/2022

- Advertisement -