NGO desak PM campur tangan isu elaun Pengerusi Bukan Eksekutif FGV

Foto webpage FGV
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan elaun tahunan Pengerusi Bukan Eksekutif FGV daripada RM300,000 kepada RM480,000 ketika ini dianggap melampau.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, apatah lagi kenaikan itu berlaku ketika rakyat peneroka FELDA sedang menghadapi zaman susah dan kemelesetan ekonomi, kini.

“FELDA adalah pemegang saham utama FGV dan perniagaan komoditi FGV adalah dengan pajakan ladang-ladang peneroka FELDA.

“Keutungan dan kerugian FGV akan memberi kesan kepada FELDA dan akhirnya kepada peneroka. Tampa ladang peneroka dan FELDA, FGV tidak akan wujud dengan megahnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Zai, saham FGV masih berada pada paras harga RM 1.56 sen berbanding harga terbitan IPO RM 4.55 sen sesaham yang masih lagi rugi dan mempuyai hutang lebih RM 4.5 Billion.

Katanya, FGV hanya mencatatkan keuntungan pada tahun lalu apabila harga mintak sawit melonjak naik kerana permintaan pasaran dunia, iaitu sebanyak RM 1.18 billion selepas cukai.

“Berapa dividen yang dapat kepada peneroka jika Pengerusi Lembaga Pengarah dibayar RM480,000 setahun? Adakah FGV benar-benar telah untung atau sebaliknya?

“Adalah sangat melampau membuat keputusan sedemikian sedangkan rakyat peneroka FELDA sedang menghadapi zaman susah dan kemelesetan ekonomi sekarang ini. Kenapa tidak didahulukan rakyat peneroka jika benar-benar untung?” soalnya.

Justeru, mewakili UMMAH, Mohd Zai meminta agar Perdana Menteri segera campur tangan dalam hal berkenaan bagi mengkaji semula serta menangguhkan cadangan bayaran yang dicadangkan dan diluluskan FGV itu.

Tambah beliau, FELDA dan FGV adalah hak rakyat peneroka yang diperah keringat mereka puluhan tahun untuk membangunkan masa depan empayar perniagaan FELDA.

Justeru katanya, sewajarnya keuntungan itu dikembalikan kepada rakyat peneroka terlebih dahulu sebelum diberikan kepada pengarah FGV sewenangnya.

“FELDA dan FGV adalah syarikat yang berkepentingan kerajaan dan rakyat peneroka, bukan syarikat konglomerat swasta yang mempuyai polisi dan dasar yang tersendiri dan bebas tampa perlu dirujuk kepada kerajaan sebagai pemegang taruh,” katanya.

Terdahulu, agenda Mesyuarat Agung Tahunan FGV yang tular menyatakan elaun Pengerusi Bukan Eksekutif FGV dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM480,000, sekali gus menjadikan elaun bulanan RM40,000 sebulan berbanding RM25,000 sebelum ini.

Pada masa sama, elaun Pengarah Bukan Eksekutif FGV bagi tempoh sama juga naik daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan. – HARAKAHDAILY 28/6/2022

- Advertisement -