Tukun: Usaha kerajaan negeri perkaya sumber perikanan

- Advertisement -

MARANG: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak lapan unit tukun tiruan konservasi yang dilabuhkan hari ini bernilai RM270,000 menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Ini, katanya akan disusuli dengan 18 unit tukun penghalang pukat tunda yang dijangka akan dilabuhkan pada September ini di perairan Dungun dan Kemaman melibatkan kos RM500,000 menggunakan peruntukan daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, program melabuh tukun hari ini di perairan Taman Laut Pulau Kapas bukanlah kali pertama yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

- Advertisement -

Malah, ujar beliau pada 2021 sebanyak 57 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di enam daerah di yang melibatkan jumlah peruntukan RM1.394 juta.

Beliau menambah, sebanyak 16 tukun tiruan kuboid penghalang pukat tunda dilabuhkan di perairan Kuala Terengganu dan Besut dengan peruntukan RM500,000 pada tahun 2020.

Ktanya lagi, tahun 2018 dan 2019 juga sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan untuk program melabuh tukun di perairan laut Besut, Kuala Nerus dan Setiu.

“Usaha ini dilakukan tidak lain dan tidak bukan untuk memperkaya sumber perikanan sekali gus untuk rakyat khususnya buat 8,635 orang nelayan Negeri Terengganu.

“Ia juga merupakan usaha jangka panjang bagi menangani isu kekurangan sumber dan pendapatan nelayan seterusnya meningkatkan sosioekonomi rakyat Negeri Terengganu Darul Iman, insya-Allah,” katanya.

Menurutnya, kerjasama semua pihak dalam menjaga perairan di Terengganu mampu membawa kesan kepada peningkatan hasil perikanan di negeri ini.

Bercakap kepada media, beliau berkata, kerajaan negeri melalui kerjasama pihak-pihak berkaitan telah membangunkan pelbagai usaha untuk memperkaya hasil perikanan tempatan.

“Saya rasa menjadi tanggungjawab semua pihak, bukan sahaja agensi-agensi kerajaan dan kerajaan negeri semata-mata, tetapi termasuk pelancong dan nelayan untuk sama-sama menjaga perairan yang ada ini.

“Patuhi peraturan, jangan buang plastik dan sampah ke dalam laut, mengail hanya di tempat dibenarkan, itu antara perkara yang menjadi tanggungjawab semua,” katanya.

Tambahnya, kerjasama berterusan semua pihak akan memperlihatkan hasil lebih baik dari segi pembiakan ikan di negeri ini. – HARAKAHDAILY 26/6/2022

- Advertisement -