Ops Tapis tahan 240 individu terbabit kes dadah

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Polis Kelantan menahan seramai 240 orang dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM157,000 termasuk sitaan melalui Ops Tapis yang dilaksanakan selama enam hari melibatkan seluruh daerah di negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, melalui Ops Tapis yang dilaksanakan terdapat dua kes terbesar iaitu melibatkan tangkapan dadah dan daun ketum.

Katanya, anggaran bagi kedua-dua kes berkenaan pihaknya berjaya merampas sebanyak 2,994 biji pil yaba manakala sebanyak 3.7 gram dadah jenis syabu serta sebanyak 700 kilogram daun ketum selain 500ml air ketum.

- Advertisement -

Menurutnya, bagi kes pertama polis membuat serbuan di sebuah pangkin kayu di kawasan hutan di Kampung Bendang Pulau, Palekbang Tumpat dan berjaya menangkap seorang lelaki Melayu berusia 27 tahun.

Katanya, pemeriksaan dilakukan ke atas lelaki berkenaan dijumpai satu bekas besi berwarna hijau bertutup tertera tulisan this is gummy series dan di dalamnya mengandungi 194 biji pil yaba.

“Hasil pemeriksaan dilakukan lelaki berkenaan merupakan seorang mekanik serta saringan air kencing juga dilakukan dan mendapati negatif namun lelaki berkenaan mempunyai sebanyak enam rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen Kelantan, di sini hari ini.

Bagi kes kedua kata beliau dalam serbuan berasingan pihaknya berjaya merampas sebanyak 700 kilogram ketum dalam serbuan dilakukan di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah.

“Melalui serbuan itu, pemeriksaan dibuat ke atas sebuah lori jenis Hicom berwarna hitam yang ditutupi dengan kanvas dan menjumpai bungkusan plastik berwarna hitam di dalamnya mengandungi bungkusan plastik lutsinar diikat dengan getah yang mengandungi 70 bungkusan daun-daun hijau disyaki daun ketum.

“Dalam serbuan itu juga, kita berjaya menangkap seorang lelaki Melayu berusia 35 tahun merupakan seorang pengganggur dan ujian saringan air kencing mendapati positif methamphetamine serta mempunyai dua rekod lampau,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2022

- Advertisement -