Polis siasat pertukaran pemilikan saham syarikat Dnars Skincare

Dato' Muhamad Zaki Harun
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Laporan polis kedua dibuat oleh keluarga pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad bagi memohon siasatan dilakukan berhubung pertukaran pemilikan saham syarikat yang dimiliki Allahyarham.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, laporan itu dibuat lebih kepada kecurigaan atau sangsi keluarga berhubung dengan pertukaran saham syarikat milik arwah.

“Laporan tersebut dibuat abang Allahyarham pada Selasa lalu dan laporannya lebih kepada kecurigaan atau sangsi keluarga berhubung pertukaran nama saham syarikat milik Allahyarham.

- Advertisement -

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada tandatangan yang dibuat itu sah atau sebaliknya.

“Malah, siasatan juga akan dibuat seiring dengan laporan polis yang dibuat sebelum ini yang menuntut siasatan lanjut berhubung kematian Allahyarham,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, keluarga pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia pada 18 Mei 2019, tampil membuat laporan polis menuntut siasatan lanjut dilakukan terhadap kematian Allahyarham.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Tumpat selepas tiga tahun kematian pengasas produk berkenaan.

Ahli keluarga Allahyarham ketika dihubungi mengesahkan membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut terhadap kematian Allahyarham yang disyaki terdapat unsur lain selain laporan turut dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – HARAKAHDAILY 26/6/2022

- Advertisement -