Fokus masalah rakyat berbanding agenda peribadi individu

Datuk Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemaslahatan dan kestabilan rakyat hendaklah diberi keutamaan berbanding kepentingan lain terutama melibatkan peribadi sesetengah pihak.

Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, desakan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan memperlihatkan ada kepentingan pihak tertentu.

Sedangkan katanya kepentingan menstabilkan ekonomi rakyat perlu diutamakan dalam proses negara beralih ke fasa endemik sekarang.

“Kerajaan hendaklah menggunakan peluang yang ada menyantuni emosi rakyat ke arah yang lebih baik pasca Covid-19.

- Advertisement -

“Semua pihak diajak bersolidariti kepada pelan peralihan endemik sebagaimana ditetapkan World Health Organization (WHO),” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Kebelakangan ini Umno makin rancak mendesakan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakub supaya membubarkan segera parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Terbaharu Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggunakan pentas Konvensyen Barisan Nasional (BN) bagi mendesak supaya diadakan segera PRU15.

Bagaimanapun banyak pihak berhujah ia tidak perlu disegerakan termasuk Ketua Umno Ketereh Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan kerajaan sekarang masih stabil.

Mohd Nassuruddin yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, PAS Kelantan menyambut baik saranan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS Pusat Senator Ts Ir Khairil Khiruddin supaya PRU5 tidak perlu disegerakan.

Menurutnya juga semua pihak perlu memberi peluang kepada perdana menteri dan kabinet untuk menyelesaikan isu rakyat berdasarkan Pelan Pemulihan Negara.

“Selain itu memberi ruang kepada kerajaan untuk menyediakan ruang pendidikan politik pengundi 18 dalam keterlibatan pilihan raya sebagai warganegara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/6/2022

- Advertisement -