Empangan Hidroelektrik Nenggiri sedia 2,000 peluang pekerjaan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Pembinaan projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri membuka peluang pekerjaan kepada 2,000 penduduk termasuk masyarakat Orang Asli.

Pengurus Besar TNB (Kelantan dan Terengganu), Mustaphakamal Yaacob berkata, peluang juga dibuka kepada kontraktor-kontraktor tempatan untuk terlibat sama.

Katanya, peluang pekerjaan disediakan bukan sahaja sahaja ketika kerja-kerja pembinaan, sebaliknya setelah pembinaan empangan tersebut selesai bagi pengoperasian loji janakuasa.

Antara pekerjaan diperlukan termasuk membabitkan sektor penyelenggaraan kawasan, pegawai keselamatan yang melibatkan pekerja mahir dan tidak mahir.

- Advertisement -

“Pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri juga dijangka dapat membantu serta menyumbang pertumbuhan ekonomi Kelantan apabila masalah banjir dapat diatasi.

“Pengurangan banjir secara tidak langsung akan meningkatkan aktiviti ekonomi yang sebelum ini tidak dapat dilakukan terutama apabila menjelang musim tengkujuh.

“Sebagai contoh aktiviti pertanian dan pembuatan sering mengalami kekangan apabila banjir berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Media Mengenai Projek Hidroelektrik Nenggiri di sebuah hotel di sini petang semalam.

Ahad lepas Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merasmikan pecah tanah pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri. Pembinaan empangan tersebut melibatkan kos kira-kira RM5 bilion.

Ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi akan memberi kesan terhadap kelestarian alam dan sosial. Empangan terbabit mampu menjana 300MW bakal meningkatkan lagi kapasiti tenaga boleh baharu.

Mustaphakamal juga berkata, apabila berjaya mengurangkan kesan banjir ia secara tidak langsung dapat memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur di Kelantan.

Menurutnya juga pembinaan empangan dapat memberi potensi kepada aktiviti akuakultur di tasik takugan utama bagi merangsang ekonomi tempatan. – HARAKAHDAILY 14/6/2022

- Advertisement -