‘Khemah besar tiada kaitan langsung’

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
PAS menolak cadangan pakatan politik baharu yang dikenali sebagai ‘khemah besar’ atau ‘jajaran baru’ sekiranya turut melibatkan DAP.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Mohd Azam Abdul Samat berkata, PAS meletakkan keyakinan kepada janji Allah untuk kemenangan Islam dengan segala usaha dan ikhtiar dilaksanakan.

- Advertisement -

“PAS Kedah komited dengan arahan PAS Pusat untuk memperteguh Muafakat Nasional (MN) dan memperkasa Perikatan Nasional (PN). Khemah besar tiada kaitan langsung.

“Apa jua keputusan yang Allah tentukan adalah yang terbaik dan tidak menjadi sebab untuk bersikap resah gelisah seolah-olah tirai besi penjara sedang berada di hadapan mata,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kata beliau sepatut tempoh yang ada dimanfaatkan untuk melaksanakan tanggungjawab dan mensejahterakan rakyat kerana natijah keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menjadi ‘mimpi ngeri’ untuk rakyat.

Mohd Azam yang juga Adun Sungai Limau berkata, semua agenda yang dirancang dalam tempoh singkat mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan masalah rakyat perlu diselesaikan.

Menurutnya juga seluruh ahli PAS sentiasa bermotivasi tinggi dan hanya mengharapkan reda Allah dalam apa juga gerak kerja yang dilaksanakan.

Jumaat lepas Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan parti menyatakan pendirian parti itu menolak cadangan menyertai ‘khemah besar’ pada PRU15, setelah berbincang dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – HARAKAHDAILY 13/6/2022

- Advertisement -