Tanpa PN, Umno masih di saf pembangkang

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

APA
panggilan kerajaan yang ada sekarang. Kalau sebelum ini disebut secara jelas kerajaan Perikatan Nasional (PN). Sebelum itu kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Malah, ada yang masih sebut kerajaan PN. Namun Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) awal-awal lagi mahu dikenali sebagai Keluarga Malaysia BBC. BBC terbabit dipengerusikan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

Sebelum itu Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) dipengerusi Shahidan Kassim. Shahidan dilantik sebagai Pengerusi PNBBC pada Mei 2020.

Manakala Timbalan Pengerusi PNBBC pula Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Jadi apa nama kerajaan di bawah Ismail Sabri sekarang. Kalau diambil kira format BBC, sudah tentunya dikenali Kerajaan Keluarga Malaysia.

- Advertisement -

Kehadiran Kerajaan Keluarga Malaysia bermakna Kerajaan PN dan BN tidak wujud lagi. Biarpun begitu kerajaan PN masih wujud di Perak dan Kedah. Di Kedah gelaran itu masih lagi digunakan secara rasmi.

Namun, di Perak tidak nampak sebutan rasmi sama ada masih kerajaan PN atau Keluarga Malaysia.

Kerajaan Keluarga Malaysia sekarang bukan disertai BN sahaja. Lebih banyak parti di luar BN membentuk kerajaan PN. Ada Bersatu, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Di Sabah pun terbentuk gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN.

BN tinggal 3 parti

Sebelum 2018 BN mampu bermegah kerana mempunyai 14 parti komponan. Sekarang BN hanya tinggal tiga parti induk. BN hanya ada Umno, MCA dan MIC.

Selepas PRU-14 pada Mei 2018, satu demi satu rakan komponan BN tinggalkan gabungan itu. Antaranya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratif Progresif (PDP), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Parti-parti terbabit meninggalkan BN pada 12 Jun 2018. Mereka sebulat suara membuat keputusan nekad tinggalkan BN. Pada PRU-14 gabungan parti terbabit menang 18 kerusi parlimen.

Paling awal meninggalkan BN iaitu MyPPP yang diketuai M Kayveas. Keputusan itu dibuat pada 19 Mei 2018. Begitu juga Gerakan turut mengumumkan keluar BN pada 23 Jun 2018.

Gerakan mengumumkan menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif. Keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan. Ia mengambil kira senario politik pasca PRU-14 serta sentimen akar umbi.

Pelik juga ketika BN kehilangan 11 parti kompenan, namun masih merasakan begitu kuat. Selepas menang bergaya di Melaka dan Johor, tiba-tiba Umno merasakan mereka wajar dinobat hero.

Lagak hero Umno dapat dilihat apabila mereka terus mendesak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan segera.

Presiden desak PM bubar

Dan terbaru Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggunakan pentas Konvensyen BN sebagai desakan terhadap perdana menteri.

Sebaliknya Umno begitu amarah apabila ada parti lain mahu memberi ruang Ismail Sabri memulih ekonomi pasca Covid-19. Ia seolah-olah memperlihatkan kepimpinan utama Umno tidak merestui kedudukan Ismail Sabri.

Kejayaan Ismail merintis Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang menstabilkan suasana politik juga seperti tidak dihargai.

Begitu juga keupayaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menarik sokongan
Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap kerajaan PN sebelum ini. Tanpa kerajaan PN, Umno masih lagi berada di saf pembangkang.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg sebelum ini menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin demi kestabilan politik masa depan.

GPS mempunyai 18 Ahli Parlimen dan menjadi rakan kerjasama kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin. Dan GPS juga secara terbuka menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

GPS yang mendominasi Sarawak tidak kedengaran ada hubungan rapat dengan BN. GPS hanya ada hubungan rasmi dengan PN.

Hubungan GPS dengan kerajaan sekarang sekadar meneruskan MoU Mac 2020. Tanpa GPS, BN pasti terlepas 18 kerusi di Sarawak pada PRU-15.

Biarpun kebangkitan Umno belum secara menyeluruh, namun desakan demi desakan tetap dibuat Ahmad Zahid. Ia memaksa Ismail Sabri membuat akujanji akan mengadakan PRU segera.

Namun ia tidak semudah itu. Ismail kena dapat persetujuan kabinet terlebih dahulu. Dalam jemaah kabinet ada wakil Bersatu, GPS, BN dan PAS. Kena dapat persetujuan semua jemah menteri sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Malangnya ketika semangat berkobar-kobar Umno mahu PRU segera diadakan, ada pula pemimpin parti itu tidak yakin BN mampu menang besar.

Umno tidak diyakini mampu menawan 148 kerusi bagi membentuk majoriti dua pertiga. Bagi Ahli Majlis Kerja Umno Azlina Othman, paling hebat BN pun boleh menang 100 kerusi parlimen.

Itu belum lagi diambil kira momentum di Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah. Di Kelantan ramai guru tidak berani lagi mengaku sokong Umno. Sedangkan sebelum Mei 2018, ramai guru rebut jawatan utama di peringkat bahagian Umno. – HARAKAHDAILY 13/6/2022

- Advertisement -