Duit sumbangan, zakat bukan sekadar ditayang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, aspek pengurusan kewangan perlu diberi penekanan oleh institusi masjid dan surau.

Menurutnya, duit kutipan dan sumbangan perlu diurus sebaiknya untuk dikembalikan manfaatnya kepada masyarakat.

“Duit sumbangan dan zakat bukan sekadar untuk ditayang dan dibanggakan kepada umum tapi untuk dihabiskan dan dikembalikan kepada masyarakat.

- Advertisement -

“Begitulah besarnya peranan masjid kepada masyarakat,” katanya menerusi laman sosial beliau hari ini.

Idris menyatakan perkara itu pada Majlis Perasmian Persidangan Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat Wilayah-wilayah Persekutuan Tahun 2022, hari ini.

Tambahnya, beliau juga melahirkan rasa gembira dan teruja dapat berjumpa dan bertukar pendapat bersama pengerusi-pengerusi masjid dan surau jumaat pada majlsi tersebut.

Dalam persidangan itu, beliau menyatakan bahawa peranan masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, tetapi ruang lingkup fungsinya sebagai pelantar meningkatkan kesejahteraan, perpaduan dan taraf kehidupan ummah.

“Saya juga mahu masjid dan surau menyuburkan majlis-majlis ilmu dan pengisian agama,” ujarnya.

Selain itu juga, tambahnya masjid dan surau perlu sentiasa berinovasi untuk menarik masyarakat dekat dengan masjid khususnya golongan belia.

Katanya, sebagai contoh mewujudkan seksyen belia untuk mereka menarik orang muda dengan masjid dan surau.

Beliau turut memetik ayat dalam surah At-Taubah ayat 18 yang bermaksud: “Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan salat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk”.

“Akhir kata semoga persidangan hari ini mampu membantu masjid dan surau dalam merancanakan aktiviti dan program seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 13/6/2022

- Advertisement -