Projek hidroelektrik tidak pinggir penduduk Orang Asli

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

GUA MUSANG:
Nasib lebih 1,100 penduduk Orang Asli yang tinggal berhampiran projek Empangan Hidroelektrik di Sungai Nenggiri akan lebih terbela memandangkan mereka dipindah ke penempatan baharu.

Penduduk terbabit melibatkan Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kampung Wias akan dipindah ke penempatan baharu yang dilengkapi rumah, sekolah dan kemudahan asas lain.

Selain itu mereka juga akan dibantu pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan sosioekonomi dengan gandingan kerajaan negeri, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta agensi lain.

Empangan Hidroelektrik Nenggiri dijangka beroperasi pada 2026 bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional apabila siap kelak.

- Advertisement -

Kerja-kerja awal di tapak bermula Mac lepas dan Ahad ini majlis pecah tanah projek tersebut dijangka diadakan dan disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Pegawai Seranta Dun Paloh Azman Ahmad berkata, penduduk di Gua Musang termasuk masyarakat Orang Asli menyokong projek tersebut yang akan memberi manfaat kepada mereka pada jangka panjang.

Katanya, penduduk Orang Asli di tiga kampung yang terbabit dengan projek berkenaan akan dipindah ke penempatan baharu disediakan kerajaan negeri.

“Penempatan baharu tersebut akan disediakan pelbagai kemudahan termasuk sekolah dan infrastruktur.

“Selain itu kerajaan juga membantu aspek sosioekonomi tanpa perlu lagi mereka bergantung kepada hasil hutan bagi menampung keperluan harian,” katanya di sini.

Baru-baru ini laman berita melaporkan sekumpulan masyarakat Orang Asli membantah pembinaan Empangan Hidrolektrik Nenggiri. Mereka menyerah memorandum kepada kerajaan di Putrajaya.

Azman juga berkata, kumpulan Orang Asli yang membantah projek tersebut hanya NGO yang dikenali sebagai Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).

Menurutnya, NGO terbabit yang didalangi pembangkang sejak dahulu lagi membantah pelbagai usaha membangunkan tanah kerajaan di kawasan pedalaman.

Kata beliau sebelum ini mereka membantah pembangunan ladang dan aktiviti pembalakan, biarpun ia jauh daripada penempatan Orang Asli.

“Isu tersebut hangat menjelang Pilihan Raya Umum lepas, di mana ada pemimpin sering keluar masuk ke penempatan Orang Asli bagi menghasud masyarakat terbabit,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sehingga sekarang tiada bantahan rasmi penduduk Orang Asli terhadap projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri memandangkan mereka faham manfaat projek terbabit.

Malah katanya, sebahagian besar penduduk Orang Asli dan orang Melayu yang memiliki kebun di kawasan terlibat dengan projek tersebut sudah menerima pampasan. – HARAKAHDAILY 9/6/2022

- Advertisement -