PERKESO laksana Ops Kesan jejak pekerja tidak daftar

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan menyasar 40,000 majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka sepanjang tahun ini sebagaimana ditetapkan di bawah akta yang diperuntukan.

Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob berkata, langkah itu penting sebagai inisiatif bagi memberi jaminan terhadap majikan dan pekerja apabila mereka berdepan dengan sebarang kontigensi.

Katanya, semua majikan dan individu yang mempunyai pekerja tempatan atau pekerja asing diwajibkan mendaftar dan mencarum dengan PERKESO di bawah akta yang telah ditetapkan.

- Advertisement -

“PERKESO menjalankan Kempen Pemutihan sepanjang bulan Mei lalu bertujuan untuk memberi peluang kepada semua individu dan majikan yang mempunyai pekerja untuk berdaftar.

“Kempen itu merekodkan sebanyak 866 premis yang dilawati membabitkan jajahan Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Kota Bharu,” katanya pada sidang media di PERKESO, di sini hari ini.

Menurutnya daripada jumlah premis yang dilawati hanya 368 majikan yang mematuhi akta, manakala sebanyak 337 majikan belum mendaftar sama ada perusahaan mereka atau pekerja.

Kata beliau sekiranya individu atau majikan gagal berbuat demikian PERKESO akan mengenakan kompaun melalui Ops Kesan yang diadakan bermula bulan ini.

Beliau berkata, ia melibatkan mana-mana majikan dan individu bekerja sendiri, namun tidak berdaftar atau mencarum.

“Tujuan utama ops tersebut untuk memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta SIP 2017 (Akta 800), di mana mereka diberi perlindungan sekiranya berlaku sebarang kontigensi.

“Sekiranya mana-mana majikan atau individu dikenakan kompaun dalam tempoh Ops Kesan akan diberi diskaun sebanyak 25 hingga 75 peratus dan bergantung tempoh pembayaran kompaun dilakukan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2022

- Advertisement -