Inisiatif kerajaan bantu anak muda cari kerjaya

- Advertisement -

Oleh AIZAL SAMSARUDDIN

SANDAKAN:
Pemuda PAS Sabah menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan kerajaan membantu golongan belia mencari kerjaya dan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Lajnah Pengguna, Pekerja dan Alam Sekitar Pemuda PAS negeri, Asrul Samat berkata, ‘Karnival Kerjaya’ dan program ‘Jom Masuk IPT’ memberi banyak manfaat kepada golongan belia.

- Advertisement -

Katanya kaedah itu merupakan mekanisme yang sesuai untuk menyalurkan informasi kepada golongan muda yang sedang mencari pekerjaan atau mahu melanjutkan pelajaran.

“Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan dan negeri mutakhir ini banyak membantu golongan muda.

“Melalui program tersebut membolehkan golongan belia mendapatkan informasi secara lebih terperinci daripada pihak yang terlibat termasuk agensi kerajaan, majikan dan IPT,” katanya di sini hari ini.

Oleh itu Asrul berharap inisiatif terbabit diperluas bagi membolehkan lebih ramai golongan muda di Sabah mendapat manfaat terutamanya melibatkan kawasan pedalaman.

Menurutnya juga program seumpama itu diharap tidak hanya tertumpu di Kota Kinabalu sahaja dan ia perlu diperluaskan ke bandar-bandar lain.

“Program tersebut sesuai diadakan secara fizikal bagi membolehkan orang ramai dating mendapatkan informasi daripada agensi kerajaan,” ujarnya.

Kata beliau juga inisiatif kerajaan tersebut diyakini dapat melahirkan lebih ramai anak muda Sabah yang berpendidikan tinggi dan mempunyai kerjaya. – HARAKAHDAILY 8/6/2022

- Advertisement -