Sweet Nira Terengganu dijenama semula dapat permintaan

Foto daripada Facebook Dr Azman Ibrahim.
- Advertisement -

MARANG: Terengganu menyasarkan untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) tanaman kelapa kepada 70 peratus menjelang tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Azman Ibrahim berkata ketika ini Terengganu hanya mampu memenuhi 64 peratus keperluan kelapa bagi populasi penduduk yang berjumlah sekitar 1.2 juta orang.

- Advertisement -

“Tanaman kelapa antara fokus utama yang kita gariskan dalam Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023.

“Untuk mencapai sasaran 70 peratus tersebut, kita memerlukan 200 hektar kawasan tanaman baharu untuk mengeluarkan hasil yang boleh menampung keperluan 70 peratus penduduk,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Minuman Isotonik, Sweet Nira Terenggganu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu Zulkifli Amin Yusof.

Justeru bagi mencapai sasaran itu, Dr Azman berkata kerajaan negeri sedang mengusahakan projek tanaman kelapa seluas 250 hektar di Setiu dengan kerjasama Ladang Rakyat Terengganu dan anak syarikat kerajaan negeri.

Selain mencapai sasaran ditetapkan, beliau berkata tanaman kelapa juga mampu menjana pendapatan negeri sekali gus menyumbang kepada jaminan bekalan makanan Terengganu.

Dalam pada itu, Dr Azman berkata Sweet Nira Terengganu yang dijenamakan semula daripada air tuak kelapa itu sentiasa mendapat permintaan tinggi dan berpotensi besar untuk dipromosi ke pasaran luar negara.

Ia memandangkan minuman tersebut mempunyai rasa yang unik dan kandungan mineral tinggi termasuk vitamin, asid amino dan sebagainya.

“Selain di Terengganu, kita juga ada menghantar produk ini ke Kuala Lumpur, Kuantan dan Melaka. Kita rancang pasarkan produk ini ke semua negeri selepas memperoleh sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia,” katanya.

Beliau berkata setakat ini terdapat 28 pekebun kelapa di negeri ini yang mengeluarkan hampir satu juta liter Sweet Nira setahun dengan pendapatan sekitar RM6.4 juta. – BERNAMA

- Advertisement -