Singgih buktikan tinggal di kampung bukan halangan berjaya

Presiden Indonesia, Jokowi turut membeli basikal buluh Singgih
- Advertisement -

JAKARTA: Pereka produk, Singgih S Kartono, mengimbau kembali kekecewaan ibu bapanya apabila ketika berusia 27 tahun pada 1995, memutuskan untuk kembali bekerja di Kampung Kandangan di Temanggung, Jawa Tengah.

Ibu bapanya berharap sebagai lulusan Institut Teknologi Bandung (ITB) yang berprestij, anak mereka akan berusaha untuk berjaya di bandar besar. Namun Singgih mempunyai idea berbeza apabila menyatakan bahawa kampung di seluruh negara tidak akan maju jika anak kampung hanya mengejar kerjaya di bandar.

- Advertisement -

Dia tidak menerima tanggapan bahawa hanya bandar menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan, selain sangat tidak bersetuju dengan pandangan bahawa tinggal di kampung akan menyebabkan mereka tidak mengetahui berita dan ketinggalan zaman.

“Antara perkara yang mendorong saya pulang ke tanah air ialah sebuah buku tulisan Alvin Toffler, yang mengatakan akan tiba saatnya ramai orang bekerja di tempat terpencil, tetapi masih berhubung dengan dunia, berkat perkembangan teknologi dan komunikasi,” katanya yang kini berusia 50 tahun.

Pencipta basikal buluh Spedagi, nama yang menggabungkan perkataan speda (basikal) dan pagi, baru-baru ini menyambut Hari Kemerdekaan Indonesia di Jakarta dengan berbasikal bersama penunggang Spedagi lain dari Daerah Pusat Perniagaan Sudirman melalui Monumen Nasional dan Lapangan Banteng ke kawasan Menteng.

“Melalui perjalanan itu, kami ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa pereka boleh membuat produk yang menarik walaupun tinggal di kampung,” kata Singgih mengenai Spedagi yang diperkenalkan sejak 2013.

Idea membuat basikal buluh menjelma ketika Singgih sakit. Ketika melayari internet untuk mencari senaman yang sesuai, dia menemui maklumat mengenai basikal buluh di Amerika Syarikat. Dia terkejut apabila mengetahui bahawa buluh digunakan untuk membuat basikal di negara itu yang tumbuhan itu jarang ditemui.

“Menyedari bahawa buluh tumbuh dengan banyak di Indonesia, saya terfikir bahawa kita harus membuat basikal buluh,” kata pengasas produk kayu jenama Magno itu.

Berharga antara 7 juta hingga 11 juta Rupiah, Spedagi buatan tangan yang memenangi Anugerah Gangsa di Anugerah Reka Bentuk Asia DFA 2017, dicipta menggunakan buluh betong, iaitu antara jenis buluh paling kuat.

Dari segi kekuatan, Spedagi buatan tangan tidak kalah berbanding basikal logam. Spedagi berjaya menempuh perjalanan sejauh 750 kilometer dari Jakarta ke Madiun di Jawa Timur dengan jumlah muatan 90 kilogram tanpa sebarang kerosakan. Basikal ini juga lulus ujian impak getaran-tekanan oleh Persatuan Pemeriksaan Kenderaan Jepun (JVIA).

Antara produk berasaskan buluh yang Singgih reka di kampungnya

Melalui kebenaran Singgih, basikal buluh jenama Spedagi Ato dihasilkan di Kampung Ato, Yamaguchi, Jepun.

“Jepun menghadapi masalah yang sama seperti Indonesia dengan ramai penduduk muda berbakat meninggalkan kampung ke bandar besar,” katanya.

Singgih bersyukur kerana kampungnya, Temanggung, mempunyai pokok buluh yang melimpah ruah. Seperti Kandangan, kampung di seluruh nusantara kaya dengan sumber alam semula jadi, tetapi masih ramai belum menyedari potensi itu. Dia percaya sumber kampung akan menentukan masa depan dunia.

“Di kampung, orang ramai boleh hidup berdikari. Di Kampung Wae Rebo di Nusa Tenggara Timur, misalnya, orang ramai memenuhi keperluan mereka menggunakan sumber berdekatan. Mereka tidak menggunakan produk (buatan kilang) dari luar kampung,” kata bapa kepada dua anak itu.

Kampung Ciptagelar di Sukabumi, Jawa Barat, yang terkenal dengan pengeluaran beras, tiada bezanya. Di sana, beras dianggap sangat berharga sehingga orang ramai hanya makan beras untuk keperluan mereka dan tidak akan menjual kepada penduduk kampung lain. “Itulah sebabnya tidak pernah ada kelaparan di Ciptagelar,” kata Singgih.

Satu lagi faedah tinggal di kampung ialah rasa kebersamaan yang kuat di kalangan penduduk, sesuatu yang sukar dicari di bandar.

Singgih mengakui masih sukar untuk meyakinkan golongan muda berpendidikan untuk pulang membangunkan kampung dan memberitahu kisah kejayaan Spedagi untuk memberi inspirasi kepada mereka.

Usahanya mula membuahkan hasil. Kampung Ngadiprono di Temanggung misalnya, mempunyai sekumpulan penduduk muda berpendidikan yang memutuskan untuk pulang selepas menamatkan pengajian di bandar besar.

Antara sumbangan utama mereka ialah mengubah taman buluh menjadi ruang hijau mesra kanak-kanak yang dilengkapi dengan perpustakaan dan taman permainan. Di sana, kanak-kanak suka bermain permainan tradisional seperti gasing dan helikopter buluh.

Sebelum anak muda datang, kawasan buluh itu berbau busuk dan kotor kerana penduduk menjadikan tempat itu untuk melupuskan sampah.

Singgih menunjukkan basikal buluh yang tahan lasak seperti basikal menggunakan logam

“Pada masa itu, mereka tidak menyedari bahawa buluh adalah sumber berharga untuk kampung. Mereka tidak tahu bahawa di negara maju, buluh digunakan sebagai pengganti kayu,” kata Singgih.

Pada hari Ahad tertentu berdasarkan kalendar Jawa, penduduk kampung menggunakan kawasan hijau untuk mengadakan Pasar Papringan yang menarik hampir 4,000 pengunjung termasuk dari bandar berdekatan Yogyakarta dan Magelang.

Kira-kira 100 penduduk Ngadiprono berpusu-pusu ke pasar untuk menjual pelbagai barangan, daripada kraftangan hingga makanan organik khas Temanggung, seperti Sego Gono, sejenis nasi yang dimasak dengan kelapa dan dihidangkan dengan tempe yang diperam, daun kacang panjang dan ikan bilis.

“Makanan ini bukan sahaja sihat, tetapi mesra alam kerana tidak dibungkus dengan plastik yang hampir tidak reput,” kata Singgih.

Pada 22 hingga 25 November tahun ini, Singgih bercadang menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pemulihan Kampung ke-3 (ICVR) di Kampung Ngadimulyo. Dua tahun lalu, persidangan itu berlangsung di Ato, Yamaguchi di Jepun.

“Kami mahu menunjukkan bahawa persidangan antarabangsa pun boleh diadakan di kampung. Acara ini bertujuan menarik minat golongan muda bukan sahaja di Indonesia, tetapi negara lain untuk membincangkan kepentingan kampung untuk masa depan.” – THE JAKARTA POST

- Advertisement -