Siasatan punca remaja mati dalam Alphard dua bulan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Siasatan punca kematian dua remaja yang meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan kerana melibatkan pakar dari agensi lain, kata Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar.

Beliau berkata pasukan perubatan sudah melakukan proses bedah siasat terhadap dua remaja iaitu  lelaki dan perempuan masing-masing berusia 19 tahun tetapi masih belum mengetahui punca sebenar kematian mereka.

- Advertisement -

“Kami sedia maklum, dua mayat itu ditemukan selepas lima hari. Banyak organ sudah dalam keadaan tidak sempurna yang memerlukan kepakaran daripada jabatan lain seperti Jabatan Kimia,” katanya pada sidang media di IPD Cheras di sini hari ini.

Muhammad Idzam berkata selagi laporan pakar daripada jabatan berkenaan tidak dikeluarkan, polis tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung punca kematian dua remaja terbabit.

“Selain itu, polis turut merakam keterangan daripada kawan, keluarga dan mereka yang mengenali si mati. Lebih 10 orang telah dipanggil untuk membantu siasatan dan sehingga kini tiada unsur jenayah ditemui,” katanya.

Sebelum ini polis telah mengenal pasti dua remaja terbabit dikenali sebagai Ahmad Danish Hakeem Hanafiah dan Akmalharith Damia Zainul.

Kedua-dua mereka yang dilaporkan hilang oleh keluarga masing-masing ditemukan di dalam sebuah MPV di ruang parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini, 29 Mei lepas. – BERNAMA

- Advertisement -