Nilai hartanah RM2 bilion sempena Ekspo Hartanah Kelantan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan memberi insentif khas terutamanya pembeli yang pertama kali membeli rumah termasuk pengecualian bayaran pindah milik pertama dan dikecualikan bayaran gadaian pertama ke atas rumah mampu milik.

Keistimewaan itu masih dikekalkan kerajaan Kelantan. Maklumat lanjut boleh didapati sempena program Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) kali ke-22 yang diadakan bermula 6 hingga 9 Jun ini di Mydin Tunjong.

Pengerusi Penganjur MAPEX Dato’ Samsuri Awang Mat berkata, pameran perumahan itu dianjur Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bersama REHDA Kelantan dan Kerajaan negeri.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan negeri juga memberi kelonggaran untuk orang Melayu bukan anak Kelantan membeli rumah tanpa menunggu kelulusan Exco kerajaan negeri.

“Sekiranya memenuhi syarat-syarat ditetapkan seperti berkahwin dengan rakyat tempatan atau bekerja dengan kerajaan atau agensi kerajaan di Kelantan atau ada pertalian mengikut waris terdekat juga diambil kira.

“Perkara itu terkandung dalam Pekeliling PTG 4/94. Sebanyak 12 pemaju perumahan menawarkan pelbagai jenis rumah termasuk teres, semi-D, banglow, kondominium, hartanah mewah dan unit-unit komersial di seluruh Kelantan.

“Nilai hartanah tersebut lebih RM2 bilion,” katanya pada kenyataan di sini.

Pemaju terbabit mempunyai Lesen Pemaju daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berpengalaman serta berwibawa.

Antaranya PMBK Development Sdn Bhd, Binaraya PKINK Sdn Bhd, SPP Development Sdn Bhd; SBJ Binajaya Development Sdn Bhd, Pingat Harmoni Sdn Bhd, Sensatimur Sdn Bhd, Wira Homeland Sdn Bhd, AK Land Sdn Bhd dan Briefdell Sdn Bhd.

Manakala pemaju perumahan dari luar Kelantan pula iaitu Residensi PR1MA dan Anggun Armada Sdn Bhd.

Samsuri juga berkata, ada institusi kewangan turut bersama pada pameran iaitu Bank Islam Malaysia Berhad.

“Pameran ini merupakan satu platform ideal untuk bakal pembeli menemui pemaju, pembiaya dan pakar-pakar hartanah dengan pelbagai jenis hartanah kediaman dan komersial di bawah satu bumbung,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/6/2022

- Advertisement -