Memahami matlamat menziarahi kubur

- Advertisement -

NABI S.A.W membenarkan menziarahi kubur dengan tujuan menasihati diri dan mengingatkan diri sendiri akan kematian. Hikmahnya adalah dapat melunakkan hati yang keras dan membuang sifat sombong dalam diri. Rasulullah S.A.W bersabda:

- Advertisement -

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُوْرِ أَلاَ فَزُوْرُوْهَا فَإِنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبَ، وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ، وَتُذَكِّرُ اْلآخِرَةَ، وَلاَ تَقُوْلُوْا هُجْرًا

Dulu aku pernah melarang kalian untuk berziarah-kubur. Namun sekarang ketahuilah, hendaknya kalian berziarah kubur. Kerana ia dapat melembutkan hati, membuat air mata berlinang, dan mengingatkan kalian akan akhirat namun jangan kalian mengatakan perkataan yang tidak layak ketika berziarah.”

[Hadis Riwayat Ahmad (13487) dan al-Hakim (1393). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadis ini sanadnya hasan]

Kita juga digalakkan untuk mendoakan si mati. Oleh kerana itu kita disuruh untuk memberi salam apabila masuk ke kawasan perkuburan. Daripada Buraidah R.A, Rasulullah S.A.W pernah mengajar Sahabat-sahabat apabila mereka pergi ke tanah perkuburan untuk membaca:

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ

“Kesejahteraan ke atas kalian wahai penduduk tempat ini daripada kalangan orang beriman dan Muslim. Sesungguhnya kami, Insya-Allah, akan menyertai kalian. Aku memohon kepada Allah kesejahteraan untuk diri kami dan diri kalian.” 

(Sahih Muslim (975))

Terdapat juga perkara-perkara yang dilarang ketika menziarahi kubur. Daripada Abu Marsad al-Ghanawi R.A, Nabi S.A.W bersabda:

لاَ تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ وَلاَ تُصَلُّوا إِلَيْهَا

“Janganlah kalian duduk di atas kubur dan janganlah kalian solat ke arahnya.” 

(Sahih Muslim (972))

Satu-satunya solat yang dibenarkan di kubur ialah solat jenazah kerana kita tidak sempat solat sebelum jenazah ditanam. Ingatlah pesanan Rasulullah supaya tidak bersusah-payah menziarahi mana-mana tempat dengan tujuan ibadah kecuali tiga masjid:

‎لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المـَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

 “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjid al-Haram, masjid Rasulullah S.A.W (Masjid al-Nabawi) dan juga Masjid al-Aqsa.” 

(Riwayat al-Bukhari (1189))

Perbuatan kita menziarahi kubur adalah berobjektifkan mengingati kematian dan berdoa untuk si mati. Jagalah adab-adab ketika menziarahi kubur dan jauhkan daripada melakukan perkara-perkara yang tidak selayaknya.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 7/6/2022

- Advertisement -