Pemuliharaan hutan kembangkan pelaburan Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuliharaan hutan merupakan ruang yang semakin berkembang untuk tujuan pelaburan ke arah pengurangan pelepasan karbon di Asia Tenggara (SEA), khususnya di Indonesia dan Malaysia, menurut laporan oleh perunding global Bain & Company dan firma pelaburan Singapura, Temasek Holdings Ltd.

Segmen itu merupakan alat untuk mengurangkan pelepasan karbon terbesar di rantau ini dan akan menawarkan peluang pelaburan bernilai AS$20 bilion (AS$1= RM4.395) menjelang 2030, kata syarikat itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ini berdasarkan laporan mereka ‘Southeast Asia’s Green Economy 2022: Investing behind new realities’, (Ekonomi Hijau Asia Tenggara 2022: Melabur di sebalik realiti baharu) yang turut menyaksikan sumbangan daripada Microsoft Corporation.

Selain pemuliharaan hutan, laporan itu mengenal pasti empat keutamaan lain yang menawarkan peluang kukuh untuk pelaburan hari ini yang akan memacu 60 peratus daripada rantau ini iaitu – tenaga boleh diperbaharui (solar dan angin), mobiliti elektrik, pertanian mampan dan persekitaran binaan.

“Tenaga boleh diperbaharui (solar dan angin) mewakili peluang bernilai US$30 bilion menjelang 2030, yang mana solar mewakili AS$20 bilion,” kata kenyataan itu.

Ia menyatakan bahawa pelaburan korporat dalam penyelesaian tenaga boleh diperbaharui semakin pesat di rantau ini dan menyumbang sekurang-kurangnya AS$6.6 bilion dalam pelaburan hijau korporat sejak 2020.

Mengenai pertanian mampan, kenyataan itu berkata platform perkhidmatan petani dan pertanian yang tepat menawarkan potensi yang besar bagi memacu peningkatan hasil dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Malaysia, Thailand dan Vietnam adalah negara yang paling menarik kerana kesediaan infrastruktur dan sokongan kawal selia yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, e-mobiliti kelihatan bersedia untuk dilaksanakan di Indonesia, Thailand dan Vietnam. Kenyataan itu menyatakan bahawa ini adalah terutamanya untuk pembuatan dan jualan kenderaan elektrik (EV) dua roda kerana kepakaran pembuatan automotif yang kukuh dalam pasaran tersebut.

Mengenai segmen pembinaan, ia berkata peluang paling menarik boleh didapati dalam penyelesaian penyejukan yang cekap, dengan potensi besar untuk bahan dan produk-produk binaan hijau.

Menurut kenyataan itu, lebih AS$15 bilion pelaburan kemampanan terkumpul telah mengalir ke rantau ini sejak 2020, dengan 45 peratus digunakan pada tiga suku yang terakhir. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -