Dakwah tetap hidup

- Advertisement -

Oleh SENATOR DATUK IDRIS AHMAD

DAKWAH satu perkara yang hidup ia tidak mati. Begitu juga pendakwah, tetap hidup. Pasti ada orang yang buat kerja dakwah. Jika kita tidak buat, Allah akan hantar orang yang buat kerja dakwah. Ini janji Allah untuk pastikan agamanya terus hidup hingga kiamat. Cuma beruntung kalau kita adalah sebahagian daripada penggerak dakwah. Pahalanya kepada kita bukan untuk orang lain. Kerja dakwah amat mulia dan terbaik.

Maksud hadis Nabi SAW: Seorang mendapat hidayah Allah melalui engkau, maka hal itu lebih baik bagimu daripada seekor unta merah. (Riwayat Bukhari)

- Advertisement -

Saya memang berminat dengan kerja dakwah. Mungkin kerana asuhan ayah saya yang berdakwah melalui bidang ilmu dengan menyampaikan kuliah ke serata kampung terutamanya di kawasan Bukit Gantang dan negeri Perak.

Kebetulan saya pula graduan Jabatan Dakwah Dan Kepimpinan daripada BA hingga MA.

Walaupun saya terlibat dalam politik, namun saya tetap tidak pisahkan dengan dakwah.

Kalau saya berkuliah di surau atau masjid saya hanya menyampaikan ilmu, tanpa menyentuh mana-mana parti dan individu. Kadang-kadang ada yang tidak puas hati, mereka kata saya lembut sangat, kami mengharapkan dia balun musuh politik PAS sebab dia pemimpin tertinggi PAS. Mereka mengharap saya berpolitik kepartian di dalam surau atau masjid.

Uslub ini saya belajar daripada Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat serta pimpinan PAS yang lain. Ayah saya pun walau terkenal sebagai penyokong tegar PAS menggunakan pendekatan yang sama.

Pada saya, kalau hendak dengar ceramah kepartian sila datang ke majlis ceramah politik. Saya menganggap bahawa mereka yang hadir mendengar  kuliah adalah mereka yang berminat dengan ilmu, kebanyakan tidak berparti. Mereka ini orang baik, biar diberinya ilmu dahulu, kemudian mereka tahulah mana pilihan mereka.

Setengah tempat apabila pertama kali mendengar kuliah saya, lepas itu mereka datang berjumpa, kami tak sangka ustaz akan berkuliah politik kepartian. Betullah apabila tak kenal maka tidak cinta. – HARAKAHDAILY 4/6/2022

- Advertisement -