KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengucapkan terima kasih Jabatan Alam Sekitar (JAS Pulau Pinang) yang cekap bertindak dan pantas menjalankan pemeriksaan ke atas 14 buah kontena sisa plastik yang dibawa masuk dari Amerika, New Zealand, Great Britain dan Belgium.
Menurutnya, pemeriksaan telah dilakukan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Butterworth, Pulau Pinang.
“Syarikat pengimport dari Sungai Petani, Kedah yang dipercayai telah diisytiharkan muflis,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, semalam.
Katanya, semua kontena diperiksa dan 1 kontena membawa buangan plastik tercemar disyaki buangan SW 422 (campuran buangan terjadual dengan buangan bukan terjadual) di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Tambahnya, notis pemulangan kontena telah dikeluarkan kepada agen untuk tindakan menghantar semula kontena ke negara asal.
Sementara itu, berkata Malaysia menghadapi cabaran untuk mendapat kerjasama daripada negara-negara pengeksport untuk mengambil semula sisa-sisa mereka.
Justeru, katanya, Malaysia menggesa agar kerjasama yang lebih baik dapat dihulurkan negara-negara pengeksport sisa pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Persidangan Konvensyen Basel, Rotterdam dan Stockholm yang berlangsung pada 1 dan 2 Jun lalu.
Beliau yang menghadiri mesyuarat itu menambah, Malaysia memohon kerjasama yang lebih baik daripada negara-negara pengeksport untuk menangani masalah tersebut.
“Tiada negara yang patut menjadi tempat pembuangan sisa dari negara lain,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tuan Ibrahim menyatakan komitmen dan sokongan Malaysia terhadap inisiatif dan kawalan ke atas pengurusan sisa dan bahan kimia berbahaya yang selamat kepada kesihatan manusia dan alam sekitar di peringkat global.

Malaysia turut menggesa kerjasama yang lebih baik daripada negara-negara pengeksport berkenaan dengan isu pengurusan sisa berbahaya. – HARAKAHDAILY 4/6/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!