Muslimat PAS zahir solidariti bersama wanita Palestin

- Advertisement -

DEWAN Muslimat PAS Malaysia (DMPM) melalui Lajnah Antarabangsanya telah menghadiri persidangan yang menghimpunkan wakil daripada 42 buah negara bertujuan menunjukkan peranan wanita sedunia dalam menyokong perjuangan wanita Palestin serta penentangan terhadap normalisasi yang cuba memadamkan perjuangan Palestin.

Perhimpunan yang diberi nama Persidangan Kesatuan Wanita Sedunia ke-7 (Persidangan Perintis Wanita Baitul Maqdis yang diadakan selama tiga hari bermula 27 Mei sehingga 29 Mei di Kaya Istanbul Fair and Convention, Istanbul Turki dihadiri oleh YB Dato’ Mumtaz Md Nawi, Suraya Syazwani Mohd Yusof serta Mardhiyyah Johari sebagai wakil DMPM.

YB Dato’ Mumtaz yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan ketika dihubungi menjelaskan, program itu mengumpulkan pimpinan-pimpinan wanita dunia, wakil wanita Palestin, diselangi dengan ucapan-ucapan bersemangat daripada pimpinan wanita, bekas banduan wanita Palestin dan murabitat Palestin.

“Dalam persidangan itu, ada tayangan-tayangan video berkenaan penderitaan keluarga syuhada Palestin, ikon pejuang-pejuang wanita Palestin dari pelbagai latar belakang.

“Tribute untuk Shireen Abu Akleh yang dibunuh Zionis ketika membuat liputan berkenaan kekejaman Israel di Palestin,” terang beliau.

Menurut YB Mumtaz lagi, semuanya berlangsung dengan semangat, sinergi dan rasa solidariti yang sangat tinggi kerana pelbagai bahan melalui montaj dan persembahan yang diadakan menunjukkan persediaan rapi dan komitmen tinggi semua pihak amat mengujakan dan sangat menarik hati peserta.

“Antara yang menarik ialah tips pendidikan Palestin kepada kanak-kanak melalui karikatur dan tafsir, ikrar infak keluarga USD10 sebulan dan lagu-lagu berbentuk ‘marching’ yang dikumandangkan pada setiap kali pembentangan.”

Malah kehadiran wanita-wanita dari berbagai profesion, termasuklah pembuat filem dokumentari, menunjukkan media akan menguatkan lagi peranannya, pasca kematian Shireen Abu Aqla baru-baru ini.

Selain itu juga, diadakan aktiviti ‘Al-Fateh Walk’ iaitu sempena memperingati ulangtahun penaklukan Kota Konstantinopal oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada 29 Mei yang diraikan oleh puluhan ribu anak muda Turki sambil melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’ dengan penuh bersemangat.

Sementara dalam Program Persembahan Wanita Pejuang Palestin pula, setiap peserta diberikan gimik replika pasport Palestin, sebagai simbolik menyatakan bahawa semua pejuang Palestin adalah warga Palestin.

Pun begitu, dalam kepadatan program yang disertai, YB Dato’ Mumtaz dan rombongan, sempat juga bertemu dan beramah mesra dengan pelajar-pelajar Malaysia di sana dan menziarahi Kesatuan NGO Dunia Islam (iDSB/UNIW) di Fetih, Istanbul yang disambut oleh Dr Rabia Yilmaz dan pimpinan iDSB.

Pada keseluruhannya, melalui program ini, DMPM berpuashati kerana telah berjaya mengukuhkan lagi jaringan  hubungan mereka dengan pejuang wanita dunia Islam lain. Keberadaan dan penyertaan pelbagai NGO wanita antarabangsa termasuklah Pertubuhan Advokasi dan Hak Asasi Wanita Antarabangsa Malaysia (i-Aware) akan menyerlahkan keaktifan aktivis wanita setiap masa dan tempat di persada antarabangsa.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 3/6/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -