Bukti PAS diiktiraf pertubuhan penting dunia Islam

- Advertisement -

KEHADIRAN wakil PAS, YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi iaitu Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar bersama Profesor Madya Dr. Aminurrasyid dan YB Mumtaz Md Nawi ke Persidangan Gabungan Antarabangsa Pembebasan Palestin di Istanbul, melalui Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, jelas membuktikan bahawa PAS diiktiraf sebagai gerakan penting dunia Islam.

Jemputan kepada PAS itu juga termasuk juga menghadiri perayaan bersejarah pembukaan Constantinople yang disambut pada tanggal 28 Mei setiap tahun.

Di kesempatan itu juga, YB Ustaz Khalil telah mengadakan pertemuan dengan Temel Karamollaoglu, Presiden Parti Saadat, iaitu sebuah parti Islam rakan sekutu PAS yang pernah dipimpin oleh seorang tokoh Islam yang sangat hebat pada zaman moden ini iaitu almarhum Necmettin Erbakan.

Bahkan wakil PAS juga berjaya mengadakan perjumpaan dengan orang nombor dua iaitu, Naib Presiden Parti AKP, Profesor Numan Kurtulmus, iaitu parti memerintah di bawah pimpinan Recep Tayyip Erdogan.

Dalam perbincangan itu, YB Ustaz Muhammad Khalil berkata, ada satu titik pertemuan yang penting dalam perselisihan panjang kedua-dua buah parti Islam itu.

“Kedua-dua parti bersetuju untuk meneruskan semula agenda D-8 yang pernah dicetuskan oleh almarhum Erbakan bagai menguatkan kesatuan Islam.

“Cetusan idea D-8 pada 1996 dahulu melibatkan lapan negara Islam iaitu Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turki bagi mengadakan kerjasama pembangunan dan membaiki kedudukan negara-negara ini dalam ekonomi global.

“Selain itu, isu-isu semasa dunia Islam dan hubungan antara Malaysia dan Turki, turut dibangkitkan dalam kesempatan yang saya anggap terbaik ini,” jelas Ustaz Khalil.

Beliau jelas gembira dengan persetujuan kedua parti itu dan keseluruhan program ini yang pastinya merapatkan lagi hubungan politik dengan gerakan-gerakan dunia Islam yang lain, di samping PAS juga dapat memberi dan menerima syor-syor yang mungkin dapat diketengahkan nanti. 

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 3/6/2022

PENAFIAN:HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -