Tiada pelupusan buangan terjadual di Black Lake – JAS

Buangan terjadual dihasilkan sama ada daripada industri, perkhidmatan (seperti bengkel atau hospital), rumah dan sebagainya. (FOTO HARAKAHDAILY/MUJAMMAD ZHARIFF ZULKIFLEE)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Tiada pelupusan buangan terjadual atau sebarang aktiviti pembakaran terbuka berlaku di tapak pembuangan sampah haram di Black Water Lake (Black Lake), di Bandar Mahkota Cheras, di sini berdasarkan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurut enviro2.doe.gov.my, di Malaysia bahan toksik dan berbahaya dikenali sebagai buangan terjadual, yang mana ia boleh menyebabkan kesan yang buruk kepada alam
sekitar dan manusia. Buangan jenis ini dihasilkan sama ada daripada industri, perkhidmatan (seperti bengkel atau hospital), rumah dan sebagainya.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, ujian ke atas kualiti air kolam takungan itu mendapati airnya bersifat alkali dengan kadar oksigen yang sangat rendah akibat daripada aktiviti pelupusan sisa domestik.

“Siasatan mendapati tiada pelupusan buangan terjadual dan aktiviti pembakaran terbuka yang tertakluk dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Bau busuk berpunca daripada kolam takungan semula jadi yang telah dijadikan tapak pelupusan haram sisa pembinaan dan sampah domestik.

“Air kolam takungan didapati berwarna hitam, berbau busuk dan dipenuhi dengan sampah sarap,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Keadaan di Black Lake di Bandar Mahkota Cheras, Selangor setelah menjadi tempat pelupusan sampah haram pada 2 Jun 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE)

Menurut Wan Abdul Latiff, aktiviti pelupusan sisa pembinaan dan sampah domestik tertakluk di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi Jadual Kedua Aktiviti 14: Pengolahan dan Pelupusan Buangan, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

Justeru menurutnya, aktiviti pelupusan sampah haram itu boleh diambil tindakan atas kesalahan tiada kelulusan laporan penilaian kesan alam sekitar (ΕΙΑ).

Beliau berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat mengenai aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

“JAS memandang serius dan sentiasa mengambil tindakan tegas serta tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar,” ujarnya.

Orang awam disaran melaporkan aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.HARAKAHDAILY 2/6/2022

- Advertisement -