Ujian tanda Allah sayang

- Advertisement -

ALLAH S.W.T menyayangi dan mengasihi semua makhluk ciptaan-Nya. Kasih sayang Allah S.W.T kepada makhluk-Nya adalah berbeza-beza termasuk kepada manusia. Allah S.W.T menyayangi setiap hamba-Nya melalui nikmat dan anugerah dikurniakan sama ada manusia ataupun haiwan yang masing-masing mendapat kurniaan Allah S.W.T yang tidak terkira.

Melalui pemberian nikmat dan anugerah kepada setiap makhluk dapat diperhatikan betapa kasihnya Allah S.W.T kepada semua ciptaan-Nya. Sebagai contoh, manusia yang juga kejadian terbaik diciptakan Allah S.W.T dikurniakan dengan pelbagai kelebihan berbanding dengan makhluk lain.

Malah, semua kejadian lain adalah diciptakan untuk kemudahan dan kegunaan manusia. Bagaimanapun, pada masa sama, manusia pasti akan diuji oleh Allah S.W.T atas nikmat yang dikurniakan. Antaranya, dengan menurunkan ujian, musibah ataupun bencana yang akan menguji keimanan manusia kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: 

- Advertisement -

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”.

 (al-Ankabut: 2)

Biasanya manusia akan memikirkan bahawa Allah S.W.T mengasihinya hanya apabila dikurniakan nikmat dan kelebihan tertentu. Jika Allah S.W.T menarik balik ataupun mengambil semula daripadanya nikmat dan kurniaan itu maka manusia akan berasa seolah-olah Allah S.W.T sudah tidak menyayanginya.

Perkara ini berbeza dengan makhluk kerana Allah S.W.T biasanya menzahirkan kasih sayang kepada makhluk sama ada dengan cara melimpahkan rezeki dan Dia mengambilnya semula juga adalah menjadi satu tanda kasih sayang Allah S.W.T kepada makhluk-Nya.

Biasanya manusia akan menggunakan kurniaan Allah S.W.T yang baik sebagai satu kelebihan seperti mempunyai harta benda, kekayaan, kedudukan dan juga kehidupan yang baik.

Namun, apabila Allah S.W.T menguji dengan menarik sedikit daripada kurniaan-Nya ini, maka manusia sudah merasa kehilangan.

Sedangkan hakikatnya kurniaan itu asalnya daripada Allah dan Dia berhak mengambil semula pada bila-bila masa. Bayangkan, sepanjang tahun, kita dikurniakan kesihatan baik oleh Allah S.W.T dan sekali-sekala ditimpa kesakitan ataupun keadaan kesihatan yang terganggu.

Ini bukan bermakna Allah S.W.T sudah tidak menyayangi kita.

Dilihat secara rasional, apabila Allah S.W.T menguji dengan menarik sedikit daripada nikmat, maka akan menjadikan seseorang itu akan kembali mengingati Allah dan bersyukur di atas nikmat-Nya. Apatah lagi, nikmat kurniaan yang ditarik balik itu hanya sebahagian kecil berbanding dengan yang sudah diperoleh.

Kita sangat bersimpati dengan rakan kita yang sedang diuji. Sangat sukar bagi sesiapa yang menghadapi ujian ataupun musibah daripada Allah S.W.T untuk menerima kenyataan yang tersirat di sebalik setiap kejadian. Namun, kita perlu kembali kepada Allah S.W.T sebagai pemilik seluruh alam ini.

Apabila berlakunya sesuatu yang kita harapkan, kita pastinya bersyukur. Apabila berlaku musibah dan ujian, kita sepatutnya bersabar sebagai tanda bahawa kita adalah seorang hamba Allah S.W.T yang beriman.

Ini yang disebutkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W sebagai perkara aneh (ajaib) yang ada pada seorang Mukmin iaitu dia boleh bersyukur kepada Allah S.W.T dalam segenap keadaan. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: 

“Sangat ajaib keadaan seseorang yang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik dan itu tidak terjadi kepada seseorang kecuali hanya bagi orang yang beriman. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur maka demikian itu kebaikan buatnya. Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar, maka demikian itu adalah kebaikan buatnya”.

 (Riwayat Ahmad)

Kita yakin rakan yang ditimpa musibah ini pasti akan terus tabah dan bersyukur manakala ramai lagi mereka yang tidak terbabit, bahkan berada dalam keadaan serba sempurna serta lengkap tampil membantu rakan yang memerlukan. Ini adalah bukti bahawa orang Mukmin sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah S.A.W adalah seumpama satu tubuh yang masing-masing akan merasai kesakitan yang ditanggung oleh satu-satu anggota bersama dengan anggota yang lain apabila sakit.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

 “Perumpamaan golongan Mukminin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam”.

 (Riwayat Ahmad)

Sebenarnya masyarakat kita di Malaysia secara umumnya amat prihatin dan mengambil berat berkaitan kesusahan yang dihadapi oleh sesama warga negara kita. Apabila berlaku musibah seperti banjir ataupun bencana yang membabitkan saudara kita di mana-mana lokasi sekalipun, maka kita akan melihat ramai yang akan turun membantu sama ada daripada pihak berkuasa sehingga badan bukan kerajaan termasuk juga orang perseorangan.

Perkara ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa semangat ukhuwah (persaudaraan) dalam kalangan rakyat sangat tinggi.

Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

 “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

 (al-Hujurat: 10)

Persaudaraan sesama Islam itu yang menjadi keutamaan di samping kita juga membantu sesama warganegara kita tanpa mengira bangsa dan agama. Semangat perpaduan ini juga yang menjamin keutuhan negara dan membawa negara ke arah kemajuan.

Tegasnya, apabila Allah S.W.T mengasihi hamba-Nya, maka pasti Allah S.W.T akan mengujinya. Ujian Allah S.W.T hendaklah diambil sebagai satu tanda kecintaan Allah S.W.T kepada kita.

USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Timbalan Pesuruhjaya
PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 3/6/2022

- Advertisement -