Kedi golf dipenjara sebulan, denda RM16,000

Pandu melulu, guna nombor pendaftaran palsu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang kedi golf memandu kereta secara melulu dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu membawa padah, apabila lelaki itu dipenjara sebulan dan didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM8,000 selepas M.Yuvarajan, 32, yang memakai baju lokap berwarna ungu mengaku bersalah memandu kereta jenis Perodua Myvi warna putih dengan cara melulu, yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

Mahkamah memerintahkan Yuvarajan menjalani hukuman penjara bermula hari ini selain hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.

Pertuduhan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000, dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Fardiana Haryanti juga menjatuhkan hukuman denda RM8,000 ke atas Yuvarajan, kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu, mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah akta sama, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), pada 5:30 petang, 7 Mei lalu.

Mahkamah turut memerintahkan Yuvarajan dipenjara empat bulan, jika gagal membayar denda berjumlah RM16,000 itu.

Yuvarajan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan memandangkan dia menanggung isteri serta seorang anak, selain ketika kejadian dia bukan di bawah pengaruh alkohol manakala Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepadanya.

Kejadian itu tular di media sosial apabila video berdurasi 27 saat itu dimuat naik melalui laman sosial (FB) Inforoadblock, memaparkan sebuah Perodua Myvi membuat provokasi dan halangan terhadap pemandu kenderaan lain. – BERNAMA

- Advertisement -
- Advertisement -