174 penjawat awam Kelantan terima anugerah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penjawat-penjawat awam di Kelantan sentiasa dihargai jasa dan keringat mereka bagi melancarkan jentera pentadbiran negeri.

Antaranya mereka diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di atas usaha memperkukuh dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dengan membudayakan kerja berprestasi tinggi dan berinovasi.

- Advertisement -

Turut diambil kira jasa, sumbangan dan pengorbanan pegawai dan kakitangan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan serta penglibatan aktif di dalam kegiatan sosial dan kemasyarakatan.

Semalam Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yakob menyampaikan anugerah kepada 174 penjawat awam di atas kecemerlangan mereka pada program yang diadakan di Dewan Jamuan Utama, Kota Darulnaim.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tersebut diadakan bagi tahun 2021.

Penerima anugerah tersebut terdiri daripada penjawat awam negeri kategori tetap, sementara dan kontrak yang berkhidmat sekurang-kurangnya setahun pada hari terakhir tahun penilaian.

Penjawat awam terbabit menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi bernilai RM1,000 seorang.

Kriteria pemilihan berpandukan perolehan markah melalui Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) mencapai 90 peratus dan ke atas serta bebas sebarang tindakan tatatertib sepanjang tahun penilaian. – UPKN

- Advertisement -